Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azizulhasni tidak sabar berentap dengan Lavreysen

Nilai: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakui semakin teruja untuk mengharungi Pusingan Akhir Piala Dunia Trek di Velodrom Nasional, Nilai bermula Jumaat ini dalam suasana persaingan dijangka cukup sengit.

Menurut Azizulhasni, kehadiran pelumba terbaik dunia termasuk juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen akan menambahkan lagi intensiti perlumbaan, sekali gus memberi cabaran berbeza buat dirinya.

Katanya, siapa yang dapat mengekalkan momentum dalam setiap perlumbaan bakal meraih kejayaan dan berpeluang besar menjulang kejuaraan pada kejohanan ini.

“Cabaran utama adalah untuk kekal kuat sehingga ke penghujung perlumbaan. Ia memang sukar, tetapi pada masa sama sangat baik untuk tahap persaingan.

“Saya sangat teruja melihat intensiti perlumbaan, lebih-lebih lagi apabila melihat prestasi Lavreysen yang cukup baik dalam acara keirin.

“Bila tengok pelumba seperti itu, ia memberi keterujaan tersendiri. Ini kali pertama dia akan berlumba di Malaysia sebagai juara dunia, jadi sudah tentu peminat tempatan mahu melihatnya secara dekat.

“Saya sendiri pun tidak sabar untuk kembali berlumba dengannya selepas sekian lama,” katanya pada sidang media memperkenalkan penaja utama kejohanan, hari ini.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui format pertandingan kali ini sedikit berbeza berbanding aksi pembukaan Siri Piala Dunia di Perth pada Mac lalu apabila jumlah penyertaan meningkat, sekali gus menyebabkan pertambahan pusingan perlumbaan.

Baginya, dalam acara keirin, pelumba perlu mengharungi lebih banyak pusingan manakala bagi acara pecut, jumlah perlumbaan boleh mencecah sehingga sembilan sebelum ke final sekiranya seseorang pelumba memenangi semua saringan.

“Malah di Hong Kong sebelum ini, Harrie sendiri pun kelihatan keletihan di peringkat separuh akhir.

“Jadi ia jelas menunjukkan betapa mencabarnya format kali ini,” katanya.

Pelumba kelahiran Belanda itu masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas dalam acara keirin pada Siri Piala Dunia Trek di Hong Kong, Sabtu lalu, sekali gus berada pada momentum terbaik untuk meneruskan penguasaan dalam acara berkenaan.

Pertemuan dua jaguh keirin dunia itu pasti dinanti-nantikan oleh peminat basikal, apatah lagi Azizulhasni bakal beraksi buat kali terakhir di hadapan penyokong sendiri.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan 47 negara sudah mengesahkan penyertaan, sekali gus lebih banyak berbanding siri sebelum ini.