Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives February 26, 2026

Sukan Sea 2027 bakal menyaksikan acara e-sukan terbanyak

Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dijangka mencadangkan lebih 10 judul permainan untuk dipertandingkan pada Sukan Sea 2027 dijadualkan berlangsung di Malaysia, sekali gus berpotensi mencipta sejarah menganjur acara e-sukan terbanyak.

Presiden MESF Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, antara judul permainan yang tersenarai adalah acara tidak pernah dipertandingkan sebelum ini, iaitu simulator perlumbaan.

“Sudah tentu kali ini kami akan mencadangkan permainan-permainan baharu yang tak pernah dipertandingkan, antaranya e-racing simulator yang akan diketengahkan dan ada beberapa pingat daripada situ.

“Jadi saya boleh bagi petunjuk bahawa ada lebih daripada sepuluh judul permainan dan tentulah lebih daripada separuh adalah sasaran emas kami,” katanya.

Beliau berkata pemilihan acara dibuat menerusi perbincangan bersama penerbit permainan selain mengambil kira potensi sumbangan pingat emas kepada negara.

Pada masa sama, beliau berkata lokasi pertandingan di Sarawak telah dikenal pasti dan hasil lawatan tapak mendapati kemudahan sedia ada adalah baik dan mampu menampung keperluan penganjuran.

Sebagai rekod, Sukan Sea 2021 di Hanoi, Vietnam mencatatkan jumlah acara e-sukan terbanyak setakat ini apabila mempertandingkan lapan judul permainan yang menawarkan keseluruhan 10 pingat emas.

Pada edisi lepas di Thailand, kem negara meraih satu emas menerusi acara Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita selain turut membawa pulang satu perak dalam MLBB lelaki ketika hanya empat judul permainan melibatkan keseluruhan enam acara dipertandingkan.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Naim berkata Malaysia telah mengesahkan tempat dalam acara MLBB dan Honor of Kings (HOK) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun yang dijadualkan bermula September depan.

Beliau berkata pusingan kelayakan bagi judul-judul permainan lain akan berlangsung secara berperingkat dari April hingga Julai manakala proses pemilihan atlet kebangsaan kini sedang dijalankan.

SRAM mahu Sivasangari, Eain Yow pertahan emas Sukan Asia

Kuala Lumpur: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) meletakkan sasaran tinggi buat dua pemain utama negara, S Sivasangari dan Ng Eain Yow, untuk mempertahankan pingat emas di Sukan Asia 2026 pada September ini.

Presidennya, Gerard Monteiro berkata, sasaran itu cukup penting memandangkan pemenang emas Sukan Asia akan melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Menurut beliau, Sivasangari yang kini berada di ranking keenam dunia diharap mampu menembusi kelompok empat terbaik dunia dalam masa terdekat.

“Pingat emas Sukan Asia sangat penting kerana ia tiket ke Olimpik. Sivasangari perlu menang dan pastikan tempat ke Los Angeles 2028.

“Eain Yow pula kini berada sedikit di luar kelompok 10 terbaik dunia. Dia bekerja keras dan melakukan beberapa perubahan positif dalam permainannya. Kita yakin dia mampu kembali ke kelompok 10 terbaik,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Sebagai persiapan menghadapi cabaran di Jepun, SRAM merancang mengadakan kem latihan di luar negara pada Ogos bagi memastikan kedua-dua pemain berada pada tahap terbaik.

Dalam masa sama, badan induk itu juga bercadang menambah barisan kejurulatihan bagi memperkukuh struktur pasukan menjelang temasya empat tahun sekali berkenaan.

Pada Sukan Asia 2022, Malaysia membawa pulang tiga emas menerusi Eain Yow (perseorangan lelaki), Sivasangari (perseorangan wanita) serta acara berpasukan wanita yang turut dibarisi Rachel Arnold, Aifa Azman dan Aira Azman.

Prestasi di Jerman bukan penentu senarai akhir skuad Piala Thomas

Kuala Lumpur: Prestasi perseorangan lelaki negara di Terbuka Jerman bukan ukuran mutlak dalam menentukan senarai akhir skuad Piala Thomas.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan, pemilihan pemain tetap dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh barisan jurulatih, bukannya keputusan satu kejohanan semata-mata.

Kenyataan beliau hadir selepas kekalahan awal Leong Jun Hao dan Justin Hoh di Terbuka Jerman yang menimbulkan persoalan mengenai tahap kesiapsiagaan pasukan.

Menurut Chong Wei, tempoh hampir dua bulan sebelum Piala Thomas memberi ruang cukup luas untuk pemain memperbaiki prestasi dan membuktikan kemampuan sebenar.

“Untuk Piala Thomas, ia bergantung kepada jurulatih kerana mereka bersama pemain setiap hari dan tahu keadaan sebenar.

“Kita tidak boleh bandingkan prestasi sekarang kerana masih ada masa. Kita mahu pilih pemain yang benar-benar berada dalam kondisi terbaik,” katanya ketika ditemui pada pelancaran kejohanan Piala Lee Chong Wei di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Beliau turut menjelaskan setiap laporan prestasi pemain dari kejohanan antarabangsa akan dianalisis secara terperinci sebelum keputusan akhir dibuat.

Pendekatan itu penting bagi memastikan skuad negara turun dengan kombinasi paling seimbang dari segi pengalaman, kecergasan dan momentum.

Justeru, kekalahan di Jerman dianggap sebahagian proses penilaian, bukan gambaran akhir kekuatan sebenar Malaysia menjelang kempen Piala Thomas.

Azizulhasni bakal sertai tiga kejohanan besar tahun ini

Kuala Lumpur: Nama Datuk Azizulhasni Awang terus menjadi sandaran utama negara apabila dia dijadual menyertai tiga kejohanan besar tahun ini bermula dengan Siri Piala Dunia di Perth 6 hingga 8 Mac ini.

Jaguh berbasikal trek yang meraih perak di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016 itu kini bergerak secara profesional akan meneruskan cabaran di Sukan Komanwel Glasgow 2026 pada Julai serta Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, penyertaan ke Kejohanan Dunia Berbasikal Trek 2026 di Shanghai pada Oktober bergantung kepada prestasi Azizulhasni di Aichi-Nagoya.

Menurut beliau, sekiranya Azizulhasni berjaya menaiki podium di Sukan Asia, peluang ke Kejohanan Dunia terbuka luas bagi memburu mata kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Kita akan nilai selepas Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Jika dia capai podium, saya percaya dia akan ke Kejohanan Dunia untuk cuba kutip mata Olimpik,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Mengulas penganjuran Siri Piala Dunia dari 24 hingga 26 April ini, Amarjit memaklumkan kira-kira 48 negara dengan hampir 700 atlet dan pegawai dijangka hadir ke Malaysia.

Beliau yakin pengalaman pasukan penganjur mampu memastikan kejohanan berjalan lancar, selain akan mengadakan mesyuarat bersama Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi memperincikan beberapa perkara teknikal.

MAJLIS PELANCARAN MyATHLETE CENTER DAN MoU BERSAMA MACE PARTNERS

Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq Johari telah merasmikan MyAthlete Center yang diadakan di Pavilion MSN Bukit Jalil.

Turut hadir, YBrs. Encik Amir Hamzah Awang Ghazali, Setiausaha Bahagian Pembangunan KBS dan YBrs. Encik Jefri Ngadirin, Ketua Pengarah MSN.

MyAthlete Center yang merupakan pertama seumpamanya di Malaysia adalah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara sebagai hab kesejahteraan holistik yang menyokong kesihatan mental, kebajikan serta perancangan kerjaya atlet.

Istimewanya, pusat ini dikendalikan oleh atlet sendiri secara sambilan — centre for athletes, by athletes.

Turut diumumkan pelantikan 16 bekas atlet kebangsaan sebagai jurucakap rasmi MACE, antaranya bekas jaguh badminton negara, Goh Liu Ying, bekas ratu gimrama, Farah Ann Abdul Hamid yang akan berperanan sebagai “duta kecil” dalam menyebarkan maklumat sahih sukan negara.

Majlis turut menyaksikan pemeteraian MoU antara Majlis Sukan Negara bersama MACE Partners iaitu Bubbles O2, ZUS Coffee dan IKEA Malaysia (IKANO Retail) bagi membuka peluang kerjaya inklusif kepada atlet kebangsaan dan negeri.

Inisiatif ini bakal diperluas ke Kompleks Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan Kompleks Sukan MSN Nilai.

Program RTG akan diteruskan

Kuala Lumpur: Program Road To Gold (RTG) akan diteruskan tanpa sebarang perubahan struktur atau perancangan dalam usaha memburu pingat emas pertama Malaysia di Olimpik Los Angeles 2028.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, setakat ini tiada rombakan dibuat dan program berkenaan akan terus dilaksanakan seperti dirancang.

“Setakat ini tidak ada perubahan dalam RTG dan kita akan terus bekerja rapat serta berbincang untuk memastikan program ini berjalan dengan baik dan lancar.

“Kita mahu pastikan sasaran yang ditetapkan dapat digapai. Kalau ada perubahan dalam masa terdekat, saya akan keluarkan kenyataan,” katanya selepas melancarkan My Athlete Centre dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MACE Partners di Pavillion MSN di sini hari ini.

Menurutnya, satu mesyuarat bersama jawatankuasa RTG akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan hala tuju serta perancangan program.

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM12 juta bagi pelaksanaan RTG untuk tahun 2026.

Dalam perkembangan sama, Taufiq merasmikan My Athlete Centre yang berfungsi sebagai hab kesejahteraan dan kebajikan atlet.

Kemudahan bernilai RM500,000 itu direka sebagai ruang santai moden bagi membantu atlet mengurus tekanan selepas menjalani latihan intensif.

“My Athlete Centre adalah hub untuk atlet kita bersantai, berkumpul dan merehatkan diri selepas latihan.

“Kita mahu pastikan atlet dapat mengawal stres mereka selepas melalui sesi latihan yang panjang,” katanya.

Pelancaran pusat berkenaan dilihat sebagai sebahagian usaha menyeluruh kementerian dalam memastikan aspek mental dan kebajikan atlet diberi perhatian seiring dengan sasaran prestasi di pentas Olimpik.

Zii Jia tunjuk semangat cintakan negara

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari optimis gabungan pemain profesional dan atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu memberi impak besar dalam kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, hujung April ini.

Keyakinan itu hadir susulan kesediaan Lee Zii Jia membantu skuad negara tanpa mengemukakan sebarang tuntutan kepada BAM, sekali gus menghangatkan misi menamatkan penantian gelaran sejak 1992.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Lee Zii Jia dan pasukannya kerana bersetuju untuk bersama-sama kita membawa pulang kegemilangan Piala Thomas yang kali terakhir pada 1992.

“Insya-Allah kejayaan itu akan terulang lagi dengan adanya kombinasi dan kerjasama yang baik daripada pasukannya dan semua pemain yang bersetuju bersama kita,” katanya selepas melancarkan My Athlete Centre dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MACE Partners di Pavilion MSN di sini hari ini.

Menurut Taufiq, penyertaan Zii Jia jelas mencerminkan semangat cintakan negara dan komitmen untuk memberikan yang terbaik di pentas berpasukan.

“Penyertaan ini dilakukan atas dasar semangat cintakan negara dan semangat untuk memberikan yang terbaik untuk Malaysia.

“Saya juga sudah berjumpa dengan presiden dan pasukan BAM untuk membincangkan perkara ini dan saya sambut baik keputusan yang dilakukan,” katanya.

Taufiq berharap sinergi antara pemain profesional dan skuad kebangsaan mampu memperkukuh cabaran Malaysia di Denmark.

“Insya-Allah badminton kita terus maju dan membawa pulang kemenangan besar untuk Malaysia,” katanya.