Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives January 15, 2026

MAJLIS AMANAT TAHUN BAHARU YB MENTERI BERSAMA ATLET DAN JURULATIH

Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Belia dan Sukan Bersama Atlet dan Jurulatih, telah berlangsung di Dewan Banquet Casa 4, Majlis Sukan Negara dengan kehadiran lebih 400 orang atlet negara.

Majlis yang disempurnakan YB Dr. Mohammed Taufiq Johari menyampaikan amanat kepada atlet dan jurulatih sebagai pembakar semangat menghadapi cabaran sukan tahun 2026.

Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan disiplin, mentaliti juara serta penyelarasan hala tuju antara atlet, jurulatih dan pengurusan sukan negara bagi memastikan prestasi konsisten di pentas antarabangsa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan YB Tuan Mordi Bimol dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara YBrs. Encik Jefri Ngadirin.

LAWATAN RASMI MENTERI BELIA DAN SUKAN KE MAJLIS SUKAN NEGARA

Sesi Lawatan Rasmi Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari, bersama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Mordi Anak Bimol ke Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini di Bukit Jalil.

Lawatan dimulakan dengan kunjungan ke Galeri Sukan yang terletak di lobi utama Bangunan Pentadbiran MSN. Galeri berkenaan berfungsi sebagai platform pameran sejarah, pencapaian serta hala tuju strategik pembangunan sukan negara, merangkumi kejayaan atlet dan program sukan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Delegasi kemudian dibawa melawat ke Cafe Time-Out, fasiliti pemakanan khusus yang disediakan MSN bagi menyokong keperluan nutrisi selaras dengan pendekatan sains sukan dan prestasi tinggi.

Sesi lawatan diteruskan dengan taklimat agensi yang disampaikan oleh Ketua Pengarah MSN, YBrs. Encik Jefri Ngadirin yang merangkumi mandat, struktur organisasi, keutamaan strategik serta inisiatif semasa MSN dalam memperkasa persediaan atlet ke kejohanan dan temasya utama peringkat antarabangsa.