Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia, mengakui terpaksa mengambil risiko untuk kembali beraksi di Terbuka Malaysia sebagai langkah menyelamatkan kedudukan ranking dunianya yang kini sudah merosot ke tangga ke-144.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berkata, biarpun masih memiliki perlindungan ranking sehingga bulan depan, dia memilih untuk membuat kemunculan semula di kejohanan pembuka tirai musim itu bagi mengutip seberapa banyak mata, sekali gus mengelak kedudukannya terus menjunam.
“Salah satu sebab utama saya kembali adalah kerana mata ranking di sini agak besar. Ranking saya sudah jatuh terlalu jauh, jadi mahu tidak mahu saya perlu turun beraksi untuk selamatkan ranking,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini, menjelang saingan Terbuka Malaysia bermula Selasa ini.
Zii Jia mengakui kejatuhan ranking dunia memberi tekanan kepadanya, lebih-lebih lagi selepas hanya mampu beraksi dalam lima kejohanan sepanjang musim 2025 akibat siri kecederaan berpanjangan.
“Memang ada tekanan bila tengok ranking jatuh macam ini. Jadi, saya perlu beraksi di Terbuka Malaysia, kalau tunggu lagi, nanti saya sendiri tidak tahu kejohanan mana yang boleh saya sertai. Ini risiko yang saya perlu ambil,” katanya.
Walaupun kini berada di ranking ke-144 dunia, bekas juara Seluruh England itu masih memiliki perlindungan ranking di kedudukan kelapan dunia, yang membolehkannya menyertai kejohanan utama dalam tempoh tertentu.
Mengulas tahap kecergasannya, Zii Jia mengakui dia belum berada pada tahap terbaik sepenuhnya, namun menerima ‘lampu hijau’ daripada pasukannya untuk kembali bertanding.
“Setakat ini saya sendiri tidak pasti sama ada sudah 100 peratus. Dari segi fizikal dan mental, pasukan beri keizinan untuk saya kembali beraksi.
“Januari ini memang mencabar sebab saya akan sertai beberapa kejohanan, tapi saya anggap ini satu ujian sama ada saya benar-benar bersedia untuk kembali ke gelanggang,” katanya.
Zii Jia bergelut dengan kecederaan buku lali yang dialaminya ketika Jelajah Dunia Akhir BWF pada Disember 2024 sebelum kembali beraksi di Masters Orleans dan Seluruh England pada Mac tahun lalu.
Namun kecederaan berkenaan masih belum pulih sepenuhnya, memaksanya berehat lagi sebelum tampil di Kejohanan Dunia di Paris pada Ogos.
Selepas itu, dia sempat beraksi di Terbuka Hong Kong, namun menarik diri pada pusingan pertama Masters China pada September lalu akibat kecederaan belakang, sebelum mengambil keputusan berehat untuk menjalani proses pemulihan.
Mengulas sasaran musim ini, Zii Jia meletakkan misi untuk kembali ke kelompok terbaik dunia sebagai keutamaan.
“Sasaran saya tahun ini adalah untuk kembali ke kelompok 10 atau 15 terbaik dunia kalau boleh, sebab kita tahu kelayakan Olimpik untuk edisi seterusnya sudah hampir bermula,” katanya.
Zii Jia akan membuka tirai kempen Terbuka Malaysia menentang pemain India, Ayush Shetty di pusingan pertama dan jika menang dia dijangka bertemu pemain nombor satu dunia dari China, Shi Yu Qi bagi perebutan tiket ke suku akhir.
“Saya tidak fikir jauh tentang undian. Sudah lama tidak bermain kejohanan dan baru pulih daripada kecederaan, tapi itu bukan alasan.
“Semua pemain ada tekanan masing-masing. Saya hormat semua dan akan cuba berikan yang terbaik,” katanya.
