Kuala Lumpur: Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, bertekad membantu gandingan nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah menamatkan ‘badi’ tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia yang menghantui pasangan itu sejak tiga edisi lalu.
Rosman mengakui sedar rekod kurang memberangsangkan pasangan nombor dua dunia itu di laman sendiri, namun enggan statistik itu terus menjejaskan mentaliti pemain menjelang aksi pembuka tirai di Axiata Arena Bukit Jalil, minggu depan.
“Saya sendiri baru tahu mereka tidak melepasi pusingan pertama sejak tiga tahun lalu. Sudah tentu kita mahukan keputusan terbaik.
“Tidak realistik kalau saya kata sasaran hanya untuk mereka bermain sahaja. Bila sertai kejohanan, sasaran yang munasabah adalah sekurang-kurangnya separuh akhir.
“Itu sasaran realistik,” katanya ketika ditemui selepas sesi uji gelanggang di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini, menjelang saingan Terbuka Malaysia yang bermula Selasa depan.
Bagaimanapun, Rosman menegaskan pendekatan berhati-hati tetap menjadi keutamaan memandangkan Terbuka Malaysia adalah kejohanan pertama musim ini.
“Kita kena ambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Musim ini masih panjang kerana tahun 2026 ada banyak lagi kejohanan besar yang perlu kita uruskan,” katanya.
Mengulas tahap kecergasan Pearly-Thinaah yang mengharungi jadual padat hujung tahun lalu termasuk beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF, Rosman menuntut anak buahnya bijak mengendalikan tekanan sebagai pemain elit dunia.
“Tipu kalau saya kata mereka sentiasa bersedia setiap hari. Memang ada turun naik, tapi itulah kehidupan pemain ranking teratas. Suka atau tidak, mereka perlu terima tekanan dan uruskan keadaan ini sebaik mungkin.
“Kita juga tidak boleh ambil mudah kejohanan ini hanya kerana keletihan akibat jadual padat. Cabaran dan sasaran tetap perlu diterima,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Rosman mendedahkan pendekatan baharu bagi musim 2026 dengan mengurangkan jumlah penyertaan kejohanan Pearly-Thinaah sekitar 20 peratus.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan kualiti permainan pasangan berkenaan kekal pada tahap optimum, khususnya dalam persiapan menghadapi temasya besar seperti Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
“Tahun lalu mereka sertai 22 kejohanan. Jadi tahun ini kita kurangkan kira-kira 20 peratus. Kita akan lebih selektif, terutama dengan mengurangkan kejohanan bertaraf Super 500.
“Namun, kejohanan wajib seperti Super 1000, Super 750 serta kejohanan berpasukan negara tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Pearly-Thinaah akan membuka tirai kempen Terbuka Malaysia kali ini menentang gandingan India, Rutaparna Panda-Swetaparna Panda di pusingan pertama.
