Kuala Lumpur: Pasangan nombor dua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dilihat mempunyai potensi cukup besar untuk muncul juara dalam acara beregu lelaki sekali gus menamatkan penantian lebih sedekad yang kali terakhir dimenangi oleh Goh V Shem-Lim Khim Wah pada 2014.
Bekas pemain badminton negara, Ismail Saman berkata, dengan prestasi semasa Aaron-Wooi Yik berada dalam landasan terbaik berbanding beberapa wakil negara yang lain sekali gus menjadikan mereka sandaran utama peminat tempatan untuk menjulang kejuaraan di laman sendiri.
“Kalau ikut prestasi terkini, memang beregu negara berada pada tahap yang baik. Tetapi bagi pandangan saya, prestasi terbaik setakat ini ditunjukkan oleh Aaron-Wooi Yik.
“Mereka ada peluang yang lebih cerah berbanding tiga gandingan lain iaitu Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani,Teo Ee Yi–Ong Yew Sin dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk muncul juara Terbuka Malaysia kali ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Bekas juara dunia 2022 itu akan membuka saingan Terbuka Malaysia menentang wakil Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi-Presley Smith di pusingan pertama dan ini adalah pertemuan ulangan seperti tahun lalu.
Mengulas laluan undian Aaron-Wooi Yik yang dijangka berdepan lawan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di peringkat suku akhir, Ismail percaya rekod pertemuan kurang memihak kepada wakil negara itu tidak akan memberi kesan besar kepada mereka.
“Bagi saya, perkara itu tidak memberi impak besar kerana Aaron-Wooi Yik bukan kalah dengan mudah. Setiap kekalahan mereka biasanya sangat sengit. Tambahan pula, bermain di gelanggang sendiri adalah satu kelebihan besar buat mereka dari segi sokongan dan semangat,” katanya.
Untuk rekod, tiga pertemuan terakhir menentang Sabar-Reza menyaksikan mereka berjaya mengalahkan Aaron-Wooi Yik sekali gus memberi sedikit motivasi kepada wakil Indonesia itu sekiranya bertemu sekali lagi di peringkat lapan terbaik.
