Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Liu Ying sokong strategi Rexy, pilih kejohanan demi Olimpik

Kuala Lumpur: Bekas pemenang pingat perak Rio 2016, Goh Liu Ying melihat tindakan Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky untuk tidak menghantar pemain ke kesemua pertandingan bermula tahun hadapan sebagai satu tindakan tepat.

Jelasnya, beliau menyokong perkara itu kerana ia mampu membawa kebaikan kepada pemain bagi mencapai matlamat yang lebih besar.

Malah, strategi itu bukan sesuatu yang baharu kerana negara China sering menggunakan kaedah tersebut terhadap pemain elit mereka.

“Bagi pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, memang perlu memilih kejohanan yang betul. Lagipun, sasaran utama selepas ini adalah Olimpik.

“Ini sebenarnya cara yang China selalu buat dan sangat bagus dari segi perancangan. Saya rasa inilah yang kita perlu belajar daripada mereka,” katanya selepas majlis pelancaran rasmi pickleball sebagai kategori sukan baharu Kidslympic 2026.

Pada perkembangan sama, Liu Ying berpandangan prestasi yang ditampilkan gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di pentas Jelajah Dunia Akhir BWF masih berada pada tahap terbaik dan tidak wajar dianggap sebagai satu kegagalan besar.

“Secara keseluruhan, prestasi mereka boleh dikatakan normal. Tiada kejutan besar dan juga tidak mengecewakan. Walaupun mereka pernah menewaskan pasangan China sebelum ini, saya nampak lawan sudah membuat perubahan dari segi strategi, jadi memang tidak mudah lagi untuk menang,” katanya.

Tambahnya, kekalahan di peringkat separuh akhir kepada pasangan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin perlu dijadikan medan pembelajaran buat Tang Jie-Ee Wei untuk memperbaiki kelemahan menjelang kejohanan akan datang selain tidak menolak faktor kepenatan turut memberi kesan kepada corak permainan.

“Saya rasa mereka boleh ambil kegagalan ini sebagai satu sesi pembelajaran. Balik nanti boleh kaji semula apa yang boleh diperbaiki.

“Kalau nak cakap tiada pengaruh memang tak mungkin. Perjalanan, bermain di Sukan Sea dua minggu berturut-turut dan terus ke Jelajah Dunia Akhir memang memenatkan. Dari segi lawan pun bukan senang nak dihadapi,” katanya.