Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives November 2025

MAJLIS APRESIASI WARGA MSN 2025

Majlis Apresiasi Warga Majlis Sukan Negara (MSN) 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah di Dorsett Grand, Subang pada 12 November 2025. Penganjuran majlis ini merupakan simbol penghargaan terhadap sumbangan dan jasa seluruh warga MSN, termasuk para pesara yang telah menabur bakti dalam pembangunan sukan negara.

Bertemakan “Old Money”, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs. Ketua Pengarah MSN, Encik Jefri Ngadirin, bersama barisan pengurusan tertinggi, pegawai serta anggota MSN.

Penganjuran ini mencerminkan semangat kekeluargaan serta komitmen berterusan MSN dalam mengiktiraf peranan setiap warga yang menjadi tulang belakang kepada kecemerlangan sukan negara.

KURSUS CCE ZON BORNEO 2025

High Performance Training Methodology: Planning and Periodization

Kursus CCE Zon Borneo 2025 telah berlangsung pada 11 hingga 12 November 2025 di Hotel Raia, Kota Kinabalu, Sabah dengan penyertaan seramai 29 jurulatih wanita dari Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kursus selama dua hari ini dikendalikan oleh Prof. Oleksandr Krasilshchikov, Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Program ini memberi pendedahan mendalam mengenai metodologi latihan berprestasi tinggi yang menekankan aspek perancangan dan periodisasi bagi membantu jurulatih memaksimumkan prestasi atlet melalui pendekatan latihan yang lebih sistematik dan berkesan.

MENJUNJUNG KASIH KEBERANGKATAN YAM TENGKU SYARIF TEMENGGONG PERLIS KE MSN

Menjunjung kasih keberangkatan tiba Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Raja Syed Putra Jamalullail & Yang Mulia Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd serta YM Puteri Sharifah Ariel Budriah Jamalullail berkenan berangkat ke Majlis Sukan Negara hari ini bagi sesi rakaman “Sembang Sukan”.

YM Puteri Sharifah Ariel Budriah Binti Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail telah mencipta sensasi memenangi pingat emas dalam Sukan Ekuestrian (Show Jumping) di Temasya Sukan Remaja Asia 2025 yang berlangsung di Bahrain.

Hadir menyambut keberangkatan Yang Amat Mulia berdua serta anakanda ke MSN ialah YBrs. Puan Puah Pei Ling, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), MSN.

PEMBELIAN KELENGKAPAN PERTANDINGAN BAGI TEMASYA SUKAN PARA ASEAN 2025 DI KORAT THAILAND UNTUK SUKAN PARA OLAHRAGA

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Maaysia (SSM) dan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

030501– PERALATAN SUKAN
030101 – PAKAIAN SUKAN DAN AKSESORI

NO. SEBUT HARGA : MSN /SH/044/2025 (S)
TAJUK SEBUTHARGA : PEMBELIAN KELENGKAPAN PERTANDINGAN BAGI TEMASYA SUKAN PARA ASEAN 2025 DI KORAT THAILAND UNTUK SUKAN PARA OLAHRAGA
TARIKH BUKA : 11 NOVEMBER 2025 (SELASA)
TARIKH TUTUP : 17 NOVEMBER 2025 (ISNIN)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohd Najib Hassan (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929948

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

PERKHIDMATAN SEWAAN BAS BAGI MEMBAWA KONTINJEN MALAYSIA KE TEMASYA SUKAN SEA THAILAND 2025

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Lembah Klang serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

221503 – Kenderaan/Jentera/Kenderaan Rekreasi

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/035/2025 (SP)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN SEWAAN BAS BAGI MEMBAWA KONTINJEN MALAYSIA KE TEMASYA SUKAN SEA THAILAND 2025
TARIKH BUKA : 11 NOVEMBER 2025 (SELASA)
TARIKH TUTUP : 17 NOVEMBER 2025 (ISNIN) SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga boleh dimuat turun di laman ini. (Sila rujuk lampiran)

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri, ditapler dan ditanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
En. Mohamad Hafis Roslee (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929879

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Penyebutharga

Spesifikasi

790 atlet Melaka disenarai dalam persiapan awal SUKMA 2026

MELAKA: Seramai 790 atlet didaftarkan dalam senarai awal kontinjen Melaka bagi persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor tahun depan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam berkata, pendaftaran awal itu bertujuan memastikan atlet berbakat kelahiran Melaka diberikan peluang dan sokongan penuh untuk mewakili negeri sendiri.

“Nama-nama atlet yang didaftarkan dalam senarai panjang ini memberi kelebihan kepada Melaka untuk menilai potensi mereka dan memilih yang terbaik dalam senarai pendek kelak.

“Jika mereka tidak disenaraikan, ada kemungkinan mereka akan mewakili negeri lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka ke-39 di sini hari ini.

Shanmugam berkata, setakat ini Melaka aktif mengadakan pelbagai pertandingan dan sesi latihan bagi mencungkil bakat baharu serta menilai prestasi atlet sedia ada dalam 37 jenis sukan yang bakal dipertandingkan.

Beliau berkata, Majlis Sukan Negeri turut menempatkan jurulatih sepenuh masa, separuh masa dan sambilan bagi memperkukuh persiapan pasukan.

Katanya, Melaka menyasarkan untuk membaiki pencapaian terdahulu iaitu 17 pingat emas, 23 perak dan 30 gangsa pada SUKMA Sarawak 2024.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM1.4 juta untuk penyelenggaraan dan baik pulih fasiliti sukan di seluruh negeri, dengan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima RM50,000.

“Fasiliti seperti gelanggang futsal dan sepak takraw sedia ada kebanyakannya dibina pada 2009 dan usaha baik pulih ini penting agar kemudahan yang digunakan kekal selamat serta dalam keadaan baik,” katanya.

Aaron, Cheong Min dinobat Olahragawan, Olahragawati Melaka

Melaka: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerima Anugerah Khas Ikon Tokoh Lestari Sukan Negeri Melaka sempena Anugerah Sukan Melaka kali ke-39, hari ini.

Anugerah berkenaan dinobatkan kepada Ab Rauf di atas sumbanganya kepada pembangunan, kemajuan dan pelbagai program sukan di bawah pentadbirannya di negeri berkenaan.

Dalam masa sama bekas pemain bola sepak Olimpik 1980, Ramli Junit menerima Anugerah Khas pada majlis dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.

Sementara itu pemain badminton beregu negara, Aaron Chia dan atlet wushu, Tan Cheong Min dianugerah sebagai Olahragawan dan Olahragawati dan Lee Ronn (wushu) dan Nurul Syasya Khairina Samsur meraih gelaran olahragawan dan olahragawati harapan.

Ab Rauf berkata, majlis berkenaan bukan sekadar penghargaan, tetapi pentas pengiktirafan terhadap keberanian, kesungguhan dan kecekalan pahlawan sukan Melaka yang meletakkan arena sukan sebagai medan perjuangan sebenar.

“Sepanjang 2023-2024 menyaksikan momentum positif perkembangan sukan Melaka mencatatkan lebih 794 atlet aktif dalam Program Pembangunan Pelapis Negeri, Bakat dan Bakat Olimpik di bawah Majlis Sukan Negeri Melaka.

“Kutipan pingat di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) turut melonjak 37.3 peratus, iaitu daripada 51 pingat pada SUKMA 2022 kepada 70 pingat pada SUKMA 2024.

“Dalam pada itu, beberapa sukan seperti wushu, silat, berbasikal termasuk badminton di peringkat Olimpik turut disertai oleh anak watan Melaka yang  mengharumkan nama negeri menerusi pencapaian yang membanggakan sekali gus menggambarkan satu petanda jelas negeri terbabit berada landasan yang tepat untuk lebih cemerlang,”katanya.

Jelasnya,  Kerajaan Negeri Melaka turut memperuntukkan sebanyak RM213,000 bagi lapan kategori Anugerah Sukan Negeri Melaka kendalian Majlis Sukan Negeri (MSN) berkenaan termasuk hadiah insentif kemenangan atlet pada majlis terbabit.

Rauf berkata, antara pencapaian yang membanggakan termasuk beregu campuran negara, Toh Ee Wei negara yang menjuarai gelaran sulung Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 di Paris selain Kejohanan Wushu Dunia, Brazilia, menerusi tiga atlet membabitkan Tan Cheong Min, Si Shing Peng dan Ti Kai Jie, yang berjaya meraih empat  emas, satu perak dan dua gangsa.

Malah silat olahraga, menerusi Muhammad Raqib Darwisy Muhammad yang meraih gangsa di Temasya Sukan Remaja Asia (Asian Youth Games) 2025 di Bahrain selain atlet berbasikal Hafiq Mohd Jafri membawa pulang pingat gangsa dari Kejohanan Trek Germany 2025.

Aaron tumpu persiapan ke Sukan SEA

MELAKA: Jaguh beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia kini menumpukan sepenuh perhatian bagi persiapan menghadapi Sukan SEA di Thailand bulan depan selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Melaka pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka ke-39 Tahun 2023/2024 di sini hari ini.

Atlet kelahiran Batu Berendam berusia 28 tahun itu berkata, beliau kini dalam tempoh persediaan bagi menghadapi temasya dwitahunan berkenaan dengan memfokuskan sepenuhnya latihan sepanjang bulan ini tanpa menyertai sebarang pertandingan, susulan jadual padat di Eropah bulan lepas.

“Anugerah ini sememangnya memberi semangat tambahan dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Melaka yang sentiasa memberikan sokongan. Fokus utama saya sekarang menumpukan latihan bagi menyumbangkan pingat untuk kontinjen negara di Sukan SEA Thailand,” katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, atlet berkenaan menerima anugerah itu daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, dan membawa pulang trofi, piala pusingan serta wang tunai berjumlah RM3,000.

Aaron berkata, beliau berkemungkinan bergandingan dengan pemain lain dalam acara beregu lelaki sebagai percubaan gandingan baharu, namun sebarang keputusan akan ditentukan oleh jurulatih.

Bagaimanapun, beliau yakin tidak menghadapi masalah sekiranya bergandingan dengan Man Wei Chong atau Tee Kai Wun, yang juga atlet kelahiran Melaka.

Selepas Sukan SEA, Aaron dan rakannya, Soh Woi Yik dijadualkan bergandingan semula untuk menghadapi Kejohanan Jelajah Dunia di Hangzhou, China, pada Disember depan.

Aaron meraih gelaran itu buat kali kedua berturut-turut selepas menampilkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa, termasuk memenangi pingat gangsa acara beregu lelaki pada Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark, dan Sukan Olimpik 2024 di Paris, selain muncul naib juara Kejohanan Seluruh England 2024 di Birmingham.

Skuad petanque beri petanda positif menjelang Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Skuad petanque negara menutup tirai Kejohanan Petanque Asia Keenam dengan semangat tinggi apabila membawa pulang tiga pingat perak dan tiga gangsa, sekali gus memberi bayangan positif menjelang Sukan Sea Thailand bulan depan.

Kejohanan yang berlangsung di Arena Petanque Kuala Lumpur itu menjadi medan ujian penting buat skuad kebangsaan yang kini berada dalam fasa akhir persiapan menghadapi 11 acara dipertandingkan di Sukan Sea.

Lebih manis, sebahagian besar pingat disumbangkan barisan pelapis muda, membuktikan bahawa program pembangunan petanque negara berada di landasan tepat dan tidak hanya bergantung kepada pemain senior.

Antara penyumbang utama ialah trio muda Mohd Muqri Arif Mohd Sapiny, Muhd Idham Shahrulzahari dan Khairul Amirul Zamrul Hisyam yang meraih gangsa dalam acara triple lelaki, serta skuad remaja campuran yang memenangi perak dalam triple campuran.

Dua lagi perak hadir daripada acara shooting menerusi Nur Iman Aina dan Muhd Harith Muhaimin Hafaizul, manakala pemain senior, Muhammad Nuzul Azwan Ahmad Temizi, turut menyumbang gangsa dalam acara sama.

Ketua jurulatih negara, Nasir Mohd Noor, menyifatkan keputusan itu sebagai tonik berharga menjelang aksi di Chiang Mai nanti.

“Kita dianggap bukan pilihan dalam acara shooting, tetapi atlet-atlet mempamerkan semangat luar biasa.

Prestasi mereka menunjukkan peningkatan ketara dan kami akan terus mantapkan persiapan untuk merapatkan jurang dengan Thailand dan Vietnam,” katanya yang mengesahkan barisan sama akan dibawa ke Sukan Sea.

Sementara itu, Nuzul Azwan, yang turut mengendalikan skuad remaja, yakin perbezaan tahap antara Malaysia dan kuasa Asia semakin mengecil hasil pendedahan berterusan di kejohanan antarabangsa.

“Pemain muda kita makin matang dan lebih berani beraksi di pentas besar. Keputusan ini bukti mereka mampu bersaing dengan nama besar rantau ini,” katanya.

Thailand muncul juara keseluruhan dengan pungutan tiga emas dan tiga gangsa (3-0-3), diikuti Kemboja (2-1-0), Indonesia (1-0-1) dan Malaysia (0-3-3).

Walaupun tanpa sebarang emas, prestasi seimbang dipacu bakat muda memberi harapan baharu bahawa skuad petanque negara masih kekal antara pencabar podium utama di pentas Sukan Sea Thailand nanti.

Liek Hou tutup musim 2025 dengan gemilang

Kuala Lumpur: Jaguh para badminton negara, Cheah Liek Hou menutup tirai musim 2025 dengan penuh rasa syukur selepas mengekalkan rekod cemerlang sepanjang tahun, menjuarai lima kejohanan perseorangan dan menyapu bersih tujuh gelaran beregu yang disertainya.

Liek Hou, 37, melengkapkan musim hebat itu dengan kemenangan berganda di Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Jepun 2025 di Shizuoka semalam, sekali gus mengakhiri tahun dengan semangat tinggi menjelang kempen penting tahun depan.

“Saya menutup kejohanan tahun 2025 dengan dua emas di perseorangan dan dua emas di beregu di Indonesia dan Jepun, berturut-turut.

“Tahun ini saya sertai tujuh kejohanan, menang lima di perseorangan dan kesemua tujuh di beregu. Saya rasa sangat bersyukur kerana dapat mengekalkan prestasi sepanjang musim,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial.

Bagi pemenang dua kali pingat emas Paralimpik itu, pencapaian kali ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi bukti usaha keras dan konsistensi yang dipupuk saban tahun.

“Tahun depan sangat penting bagi saya, Sukan Para Sea akhir Januari, Kejuaraan Dunia Para Badminton awal Februari dan Sukan Para Asia pada Oktober. Saya harap dapat kekalkan rentak permainan dan tunjukkan prestasi terbaik,” ujarnya.

Liek Hou turut menzahirkan penghargaan kepada penaja dan pihak yang sentiasa berada di belakangnya, termasuk APACS Sports, Akisama Group, Himalaya Sports Malaysia, serta sokongan padu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Terima kasih kepada semua yang percaya kepada saya dan menyokong saya selama ini.

Kepada semua penyokong, terutamanya rakyat Malaysia, anda sebab saya masih bersemangat untuk terus mewakili negara yang saya cintai,” katanya.

Di Shizuoka, Liek Hou mempamerkan aksi konsisten apabila menewaskan pemain Taiwan, Fang Jen-Yu 21-14, 21-17 dalam final perseorangan lelaki SU5, sebelum bergandingan dengan Mohamad Faris Ahmad Azri untuk menumpaskan pasangan India, Hardik Makkar-Ruthick Ragupathi 23-21, 21-13 bagi memastikan emas berganda.

Kejayaan itu sekali gus menegaskan status Liek Hou sebagai legenda para badminton dunia, bukan sahaja kerana gelaran yang dimenanginya, tetapi kerana ketabahan dan semangat juangnya yang tidak pernah luntur.