Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Deaflympics 2025: KBS tetap bangga dengan pencapaian kontinjen negara

Sepang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetap bangga dengan pencapaian kontinjen negara pada temasya sukan Deaflympics 2025 di Tokyo biarpun tidak berjaya menepati sasaran membawa pulang tiga pingat emas ditetapkan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya sedar kontinjen negara tetap menampilkan aksi positif, terutama kejayaan menyumbang pingat dalam sukan baharu menerusi karate selain muncul selaku pasukan terbaik di Asia Tenggara pada Deaflympics kali ini.

“Ini adalah satu daripada kejayaan yang harus kita raikan dan kami ucap berbanyak-banyak tahniah dan juga terima kasih kepada semua yang berjaya.

“Ini juga membuktikan kita sentiasa mampu untuk bersaing di peringkat dunia, dan kita juga mampu untuk mengekalkan Malaysia sebagai antara kontinjen terbaik dari Asia Tenggara,” katanya pada majlis sambutan kepulangan kontinjen negara dari Tokyo di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Jefri Ngadirin.

Malaysia menutup kempen Deaflympics 2025 dengan satu emas (beregu lelaki boling), dua perak (karate kumite individu lelaki bawah 84 kilogram dan beregu wanita boling) serta satu gangsa (beregu campuran badminton).

Adam Adli pada masa sama berharap kontinjen negara akan meneruskan momentum mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa selain menyeru pihak luar terus menyokong pembangunan atlet sukan orang pekak.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn memohon maaf dan mengakui kesilapan mereka tidak berjaya mencapai sasaran diletakkan di negara Matahari Terbit itu.

Beliau juga enggan menuding jari kepada mana-mana pihak namun akan melakukan sesi pascanilai dalam usaha memperbaiki prestasi atlet negara selepas ini.