SERAMAI 16 atlet ditawarkan untuk menyertai program Road To Gold (RTG) dalam misi memburu pingat emas pertama buat negara pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Ia melibatkan 13 pemain badminton, dua pelumba basikal trek dan seorang atlet angkat berat.
Tawaran tersebut bagaimanapun disulami syarat ketat apabila prestasi mereka akan dinilai setiap enam bulan selain ‘wajib’ berada dalam kelompok empat terbaik dunia dua tahun menjelang LA28.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, mereka perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang akan dibincangkan dan ditetapkan bersama atlet, jurulatih serta Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).
Beliau berkata, tawaran tersebut hadir bersama dengan tanggungjawab atlet untuk menjayakan misi besar berkenaan selaras dengan pelaburan yang dibuat oleh kerajaan ke atas RTG
“RTG merupakan program sokongan buat atlet. Sokongan ini mesti membuahkan hasil. Sebab itu kita tetapkan kriteria pada 2027 dan 2028 mereka perlu berada di kedudukan empat terbaik dunia.
“Ia untuk memastikan bayangan emas (hampir) dan berpandukan realiti ranking pada masa itu.
“Atlet yang bersetuju dan tandatangan (kontrak) mesti mempunyai komitmen kepada negara tidak boleh sewenang-wenang buat keputusan. Pada 2027 atau 2028 saya tak nak main. Tidak boleh begitu.
“Kita perlukan disiplin dan komitmen daripada atlet untuk pastikan duit (pelaburan) ada akauntabiliti buat atlet. Saya percaya peminat sukan juga mahu akauntabiliti daripada atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama RTG di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa.
Kriteria pemilihan atlet RTG bagi tahun ini ialah pemenang pingat Sukan Olimpik Paris dan berada dalam ranking 10 terbaik dunia.
Bagi tahun 2026, mereka perlu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia dan syarat lebih ketat pada 2027 iaitu layak secara merit ke Sukan Olimpik selain wajib berstatus empat terbaik dunia dan mengekalkan kedudukan sama pada 2028.
Hannah menjelaskan bahawa dalam tempoh dua minggu ini sekretariat RTG akan berjumpa dengan kesemua atlet untuk berbincang dan mendapatkan persetujuan daripada mereka.
“Pengesahan tawaran tersebut perlu dibuat dan diserahkan kepada jawatankuasa RTG pada bulan depan,” katanya.
Menyentuh mengenai dana untuk program tersebut Hannah memberitahu, bagi tahun ini ia melibatkan jumlah RM10 juta.
“Bagi tahun mendatang ia bergantung kepada bajet yang ditetapkan kerajaan,” katanya.
INFO
SENARAI ATLET RTG 2025
BADMINTON
1. Aaron Chia – Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 (ranking keenam dunia)
2. Soh Wooi Yik – Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 (ranking keenam dunia)
3. Lee Zii Jia – Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 (ranking kelapan dunia )
4. Pearly Tan – Ranking lima dunia dan ranking keempat di Sukan Olimpik Paris 2024
5. M. Thinaah – Ranking kelima dunia dan ranking keempat di Sukan Olimpik Paris 2024
6. Chen Tang Jie – Ranking keempat dunia
7. Toh Ee Wei – Ranking keempat dunia
8. Goh Sze Fei – Ranking kedua dunia
9. Nur Izzuddin Rumsani – Ranking kedua dunia
10. Goh Soon Huat – Ranking ketiga dunia
11. Shevon Lai – Ranking ketiga dunia
12. Man Wei Chong – Ranking kelapan dunia 8
13. Tee Kai Wun – Ranking kelapan dunia
BERBASIKAL
14. Mohd Shah Firdaus Sahrom – Ranking keenam dunia dan ranking keenam di Sukan Olimpik Paris 2024
15. Nurul Izzah Izzati Mohd Asri – Ranking kesembilan dunia
ANGKAT BERAT
16. Mohd Aniq Kasdan – Ranking keenam dunia dan ranking keempat di Sukan Olimpik Paris 2024