Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad badminton sedia gegar Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Skuad badminton negara kini sudah bersedia untuk memulakan perjuangan dalam saingan Piala Sudirman dan menjadikan Perancis sebagai mangsa pertama dalam aksi sulung Kumpulan C, esok.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky berkata, mereka sudah merangka beberapa strategi serta perancangan terbaik untuk digunakan untuk bertemu lawan dalam usaha memastikan Malaysia boleh mencatat semua keputusan positif.

Selain itu, setiap anggota pasukan sudah diberikan tugasan masing-masing bagi memastikan setiap pemain yang diberikan peranan untuk beraksi mampu memberikan persembahan cemerlang.

“Dalam pasukan, kita ada fisioterapi, tukang urut sukan (sport masseur), jurulatih kecergasan dan penganalisis video. Kebanyakannya kita sesuaikan dengan keperluan pemain.

“Semua barisan jurulatih juga sudah mengadakan perbincangan bagi perlawanan pertama menentang Perancis, kedua Australia dan ketiga Jepun. Kami sudah berbincang sebaik mungkin dan mesyuarat akan diadakan dari semasa ke semasa.

“Jadi, perkara pertama yang kita tekankan kepada pemain ialah motivasi, fokus dan juga kondisi fizikal agar mereka berada di tahap terbaik,” katanya.

Selain itu, sebaik sahaja tiba di Xiamen, China, setiap pemain berusaha menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan menjalani latihan di gelanggang bagi mendapatkan momentum sebelum memulakan aksi peringkat kumpulan.

Sebagai makluman, Malaysia membariskan pemain terbaik serta berpengalaman seperti beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, juara Kejohanan Badminton Asia 2025, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita).

Turut disenaraikan ialah Justin Hoh (perseorangan lelaki), K Letshanaa dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Go Pei Kee-Carmen Ting (beregu wanita) serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (beregu campuran).

Selepas menentang Perancis, Malaysia akan bertemu Australia (29 April) dan pencabar utama Malaysia dalam peringkat kumpulan, Jepun (1 Mei).