Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan lagi menggunakan dana kerajaan untuk membina atau menaik taraf fasiliti sukan di atas tanah milik swasta atau persendirian, tegas Menterinya, Hannah Yeoh.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi menghentikan amalan penggunaan dana awam bagi menyelenggara kemudahan bukan milik kerajaan, termasuk gelanggang futsal yang sebelum ini menjadi trend.
“Jika tidak, semua pemilik tanah atau kawasan kejiranan akan meminta supaya gelanggang futsal atau pickleball dibina di kawasan masing-masing. Ini tidak munasabah kerana peruntukan yang ada adalah terhad.
“Sebab itu saya selalu tegaskan di Parlimen, kalau nak bina fasiliti sukan, mesti di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan supaya aksesnya jelas dan terjamin,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Konvensyen Rakan Muda di sini, hari ini.
Menurutnya, sebarang pembinaan di atas tanah milik kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mendapat persetujuan rasmi terlebih dahulu, manakala pembinaan di tanah persendirian telah dihentikan sepenuhnya.
Dalam pada itu, Hannah turut mendedahkan terdapat kes sebelum ini di mana kerajaan negeri enggan menerima fasiliti yang telah dibina, termasuk kolam renang, kerana enggan menanggung kos penyelenggaraan tinggi seperti pam air.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebelum ini memaklumkan sebanyak 30 gelanggang sukan yang uzur dan tidak diselenggara telah dilupus dan dirobohkan sejak 2021.
Menurut beliau, pelupusan itu melibatkan 20 gelanggang di Semenanjung Malaysia dengan nilai kerugian mencecah RM11 juta, manakala 10 gelanggang di Sabah dan Sarawak melibatkan kerugian RM1.4 juta — kebanyakannya gelanggang futsal 1Malaysia.