Kuala Lumpur: Perenang negara, Khiew Hoe Yean melihat kejayaan meraih beberapa pingat emas di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia 2025 sebagai persiapan terbaik menghadapi Sukan Universiti Dunia 2025 di Rhine Ruhr, Jerman yang akan berlangsung dari 16 hingga 27 Julai depan.
Jelas Hoe Yean, kejohanan itu juga membolehkan dia menguji beberapa aspek teknikal dan dari situ, dirinya dapat melihat kembali apa kekurangan yang perlu dibaiki sebelum kejohanan utama berlangsung.
“Saya melihat kejohanan ini adalah ujian terbaik untuk kami sebagai persiapan menjelang Kejohanan Universiti Dunia dan juga Kejohanan Akuatik Dunia (Ogos) selepas ini.
“Melalui pertandingan ini, ia memberi peluang untuk kami melihat kembali dan melakukan perbincangan agar dapat memperbaiki segera beberapa aspek lain demi kebaikan dalam renang,” katanya.
Pada kejohanan Universiti Dunia itu nanti, perenang berusia 23 tahun itu akan mewakili Universiti UCSI dan sudah pasti, momentum terbaik yang ada ketika ini bakal menjadi tonik tambahan buat dirinya.
Mengikut rekod statistik daripada Akuatik Dunia, Hoe Yean kini memegang rekod kebangsaan dalam acara 400m gaya bebas (3:42.37s), 200m kuak lentang (01:56.55s) dan beberapa acara lain lagi.
Terdahulu, Kejohanan Terbuka Malaysia yang berlangsung di Pusat Akuatik Negara di Bukit Jalil semalam menyaksikan dirinya yang mewakili Kuala Lumpur berjaya menambah tiga lagi pingat emas dalam acara 400 meter (m) gaya bebas, 200m kuak lentang dan membantu kuartet 4x200m gaya bebas.