Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PKBM sanggup sediakan basikal untuk Azizulhasni

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyatakan kesediaan sekiranya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memerlukan bantuan.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh berkata, Azizulhasni adalah atlet yang banyak berjasa kepada sukan berbasikal negara dan disebabkan itu, pihaknya akan berusaha memenuhi segala permintaan daripada pelumba itu termasuk peralatan seperti basikal untuk berlumba.

“Kalau Azizulhasni mahu basikal, kita akan cuba bantu dan berikan. Itu tiada masalah bagi kami. Dia juga ada basikal sendiri, tetapi sekiranya mahu menggunakan basikal yang disediakan PKBM, dari pihak persatuan, kami tiada halangan.

“Kami bersedia untuk memastikan bahawa beliau diberikan peralatan dan sumber berkaitan untuk membantunya menjalani latihan serta menyertai kejohanan-kejohanan yang akan datang,” katanya.

Selain itu, Amarjit percaya Azizulhasni mampu mencapai prestasi terbaik meskipun tidak menyertai sebarang pertandingan hampir lapan bulan sejak aksi terakhir di pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam perkembangan sama, ‘The Pocket Rocketman’ itu turut menyatakan kemungkinan beliau akan menyertai acara berpasukan pada tahun ini di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia yang dijadual berlangsung pada bulan Oktober.

Namun, atlet berusia 37 tahun itu masih perlu bersaing dengan beberapa pelumba lain seperti Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Umar Hasbullah, Mohamad Akmal Nazimi Jusena selain Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhamad Ridwan Sahrom.

Terdahulu, Azizulhasni memaklumkan sasaran utama untuk dia adalah kejohanan pada tahun hadapan seperti temasya Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun, serta Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.