Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia tak mahu jadi ‘jaguh kampung’

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan sasaran utama Malaysia bukanlah untuk muncul juara keseluruhan ketika Sukan Sea 2027 yang akan diadakan di negara ini, sebaliknya kesinambungan program pembangunan atlet perlu menjadi agenda yang lebih penting.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, untuk edisi sukan dwi-tahunan akan datang, Malaysia tidak akan bertindak sembrono hanya untuk menjadi ‘jaguh kampung’ seperti edisi 2017.

Sebaliknya, pihaknya akan melakukan perancangan yang lebih teliti serta mengambil langkah strategik demi kebaikan sukan di negara ini.

“Saya dengar pandangan Tan Sri (Mohamad) Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) yang menegaskan supaya kita jangan ada mentaliti ‘jaguh kampung’ dan saya bersetuju. Kita perlu berpijak kepada realiti.

“Untuk edisi 2027, kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan tiga kerajaan negeri iaitu Johor, Pulau Pinang dan Sarawak, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam menganjurkan temasya ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Axiata, Bukit Jalil, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr. K. Nagulendran, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Selain itu, Hannah turut memaklumkan bahawa Malaysia tidak mahu menyenaraikan acara ‘syok sendiri’, sebaliknya sukan yang dipertandingkan di pentas Olimpik akan menjadi keutamaan.

Ketika ini, kerajaan Malaysia bersama beberapa negara di rantau ini seperti Thailand dan Singapura bersetuju untuk memberi fokus yang lebih kepada sukan-sukan yang dipertandingkan di peringkat tertinggi.

“Saya difahamkan bahawa bagi Thailand (tuan rumah Sukan Sea 2025), Malaysia dan Singapura (tuan rumah Sukan Sea 2029) sudah ada persefahaman bahawa asasnya adalah sukan-sukan Olimpik.

“Kita akan lihat sukan-sukan yang akan dipertandingkan oleh Thailand pada hujung tahun ini,” katanya.

Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia memaklumkan bahawa satu perbincangan akan diadakan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi meneliti acara sukan yang bersesuaian untuk dipertandingkan, agar Malaysia tidak menjadi ‘jaguh kampung’ pada Sukan Sea 2027 nanti.