Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tiga beregu lelaki Malaysia paling mantap di Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Skuad badminton negara dilihat mempunyai kelebihan besar apabila bakal menurunkan beregu lelaki terkuat pada saingan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China, dari 27 April hingga 4 Mei ini.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, Malaysia perlu memanfaatkan peluang itu untuk mendapatkan mata penting selepas ketiga-tiga beregu lelaki negara ketika ini berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

Mereka adalah Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berada di ranking kedua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (keenam dunia) dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ketujuh dunia).

“Ini hari pertama latihan dan masih ada baki lebih kurang dua minggu. Kita tengok baguslah kerana ini yang terbaik di Malaysia, jadi kehadiran tiga beregu ini memang bagus untuk pasukan.

“Pasukan lawan yang menjadi perhatian dalam saingan peringkat kumpulan adalah Jepun.

“Selepas itu ada Australia dan Perancis, tetapi Perancis hanya hantar pasukan pelapis. Jadi saya harap beregu lelaki boleh beri satu mata,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Malah, melihat prestasi beregu lelaki ketika ini terutama Aaron-Wooi Yik yang masih segar dengan kejuaraan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 Ahad lalu, skuad badminton negara mempunyai kekuatan sangat baik dan dijangka menjadi penyumbang mata penting kepada Malaysia.

Selain itu, jurulatih kelahiran Indonesia itu melihat ketiga-tiga pasangan negara itu mempunyai gaya permainan tersendiri, sekali gus memberi kelebihan buat beliau untuk memilih siapa yang akan diturunkan berdasarkan lawan bakal dihadapi nanti.

“Setiap pasangan ada gaya permainan berbeza, jadi saya ada banyak pilihan untuk diturunkan bergantung kepada siapa lawan kita nanti.

“Daripada sudut teknikal, kita akan tengok juga kesesuaian lawan, tetapi kelebihan kita sekarang ialah ada pelbagai jenis permainan yang boleh disesuaikan dengan situasi,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1989.

Pencapaian terbaik adalah tiga kali melangkah ke separuh akhir iaitu pada edisi 2009, 2021 dan 2023.

China mendominasi kejohanan itu dengan 13 kali muncul juara, diikuti Korea Selatan (tiga kali) dan Indonesia (sekali).