Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zahid, Hannah ucap tahniah kepada Aaron-Wooi Yik

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik di atas kejayaan bergelar juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.

Ahmad Zahid menyifatkan kejayaan bekas juara dunia 2022 itu, menamatkan kemarau negara selama 18 tahun dalam kategori itu di pentas BAC bukan sahaja membanggakan, tetapi menyatukan semangat seluruh rakyat Malaysia.

“Aksi yang cukup mendebarkan! Walaupun berdepan tekanan daripada sorakan ribuan penyokong lawan, ia tidak mematahkan semangat juang mereka. Teruskan kecemerlangan ini demi negara,” katanya di laman Facebook hari ini.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik mendakap kejuaraan sulung mereka di BAC selepas menafikan saingan pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi, 21-19, 21-17 dalam masa 47 minit, sekali gus melenyapkan sokongan padu penyokong tuan rumah di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

Kali terakhir wakil beregu lelaki negara di BAC adalah menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2007 di Johor Bahru.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam hantaran di facebooknya berharap pasangan keenam dunia itu terus membanggakan negara kerana seluruh negara sentiasa bersama mereka.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada pasangan beregu badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang baharu sahaja memenangi gelaran beregu lelaki kejohanan BAC di Ningbo China,” katanya.

Kejayaan hari ini cukup manis buat Aaron-Wooi Yik kerana ia memberi peluang kepada mereka untuk menebus kekecewaan apabila tewas pada final edisi 2022 di Muntinlupa, Filipina kepada pasangan Indonesia Pramudya Kusuma-Yeremia Rambitan, 21-23, 10-21 dan mempamerkan aksi cemerlang selepas mereka tidak tewas satu set pun sepanjang kejohanan.

Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,000 (kira-kira RM164,000), manakala Bo Yang-Liu Yi menerima USD17,500 (kira-kira RM77,000) selaku naib juara.