Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sivasangari gagal ke suku akhir

Kuala Lumpur: Pemain skuasy wanita utama negara, S. Sivasangari terpaksa melupakan hasrat melangkah ke pusingan suku akhir kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna 2025 di Mesir selepas tewas di tangan wakil tuan rumah Salma Hany, malam semalam.

Pemain nombor 11 dunia itu meraih kemenangan pada perlawanan pertama dan kedua 11-9, 11-4 namun kehilangan momentum selepas tewas pada baki perlawanan 7-11, 2-11, 8-11 dalam perlawanan berlangsung selama 51 minit.

Ia kekalahan kedua Sivasangari sepanjang tiga pertemuan dengan pemain nombor 13 dunia itu.

Terdahulu, Sivasangari mara ke pusingan kedua kejohanan tersebut selepas menewaskan rakan senegara Aira Azman dalam masa hanya 17 minit.

Dalam pada itu, seorang lagi jaguh skuasy wanita negara Rachel Arnold akan berdepan pemain nombor empat dunia Olivia Weaver dari Amerika Syarikat dalam usahanya memburu slot ke suku akhir hari ini.