Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Selepas takluk Asia, Aaron-Wooi Yik sasar juara dunia sekali lagi

Sepang: Selepas menamatkan penantian 18 tahun untuk memenangi acara beregu lelaki di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, semalam, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersedia memburu gelaran lebih besar selepas ini.

Menurut Aaron, dia dan Wooi Yik akan terus berusaha meningkatkan prestasi di bawah kendalian jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi dengan sasaran untuk menjuarai kejohanan dunia.

“Saya fikir sudah tentu kami masih menyasarkan kejohanan dunia tahun ini, tetapi seperti yang saya katakan, kami masih perlu menyesuaikan permainan dengan jurulatih Herry.

“Jadi kami teruskan berlatih dan tingkatkan permainan dan kita lihat nanti apa yang akan berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Semalam, Aaron dan Wooi Yik mencipta sensasi apabila menjuarai BAC 2025 selepas menewaskan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi dengan keputusan 21-19, 21-17 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

Kejayaan itu mengulangi pencapaian 18 tahun lalu apabila Choong Tan Fook-Lee Wan Wah memenangi acara beregu lelaki pada BAC 2007.

Untuk rekod, Aaron dan Wooi Yik pernah bergelar juara dunia pada 2022 lalu dan untuk tahun ini saingan terbesar dunia itu akan dilangsungkan di Perancis, Ogos ini.