Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Beregu negara, Rexy Mainaky gembira melihat persembahan cukup garang ditampilkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025, semalam.
Bagi Rexy, Aaron-Wooi Yik menampilkan gaya permainan cukup berbeza serta dapat mengeluarkan beberapa teknik baharu yang diajar, sekali gus menjadi kunci kejayaan mereka di BAC kali ini.
“Pertama sekali, syukur kepada Tuhan untuk kejuaraan ini. Saya berharap sekarang Aaron dan Wooi Yik dapat mengekalkan prestasi mereka. Untuk kejohanan ini, prestasi mereka sangat-sangat baik.
“Mereka sudah mula faham cara permainan diinginkan oleh Ketua Jurulatih Herry (Iman Pierngadi),” katanya kepada Arena Metro.
Persembahan pasangan nombor enam dunia itu sangat konsisten dari pusingan pertama sehingga ke final BAC apabila mereka mencatat kemenangan bersih straight set.
Malah, mereka tidak berdepan masalah besar untuk menyingkirkan juara bertahan yang juga pasangan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang di separuh akhir.
Kemenangan itu mengubat sedikit duka selepas dua kekalahan berturut-turut di tangan gandingan China itu iaitu pada peringkat kumpulan dan di separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024.
Selepas ini, Aaron-Wooi Yik akan melakukan persiapan bagi menghadapi saingan Piala Sudirman pada hujung bulan ini, selepas Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Perancis, Jepun serta Australia.
Melihat prestasi beregu lelaki ketika ini, skuad badminton negara mempunyai kekuatan sangat baik dan dijangka akan menjadi penyumbang mata penting dalam setiap aksi.