Kuala Lumpur: Dunia sukan Malaysia menerima berita sedih apabila bekas Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad dilaporkan meninggal dunia pada usia 75 tahun, petang tadi.
Perkembangan itu disahkan Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya, sebentar tadi.
“MSN merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham YBhg. Datuk Wira Mazlan Ahmad, Mantan Ketua Pengarah MSN (1 Mac 1993 hingga 23 Ogos 2005).
“Allahyarham memulakan perkhidmatan di MSN sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada tahun 1983, dan telah memberikan sumbangan besar dalam pembangunan sukan negara sepanjang perkhidmatannya.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dihimpunkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ucap MSN.
Sebagai rekod, Allahyarham menjadi antara watak penting dalam pembangunan atlet yang cemerlang antaranya menerusi program Jaya 98 sebagai persiapan atlet ke Sukan Komanwel 1998.
Beliau juga dianggap sebagai ‘arkitek’ di sebalik kejayaan bersejarah di Sukan Komanwel itu yang menyaksikan kontinjen negara menamatkan saingan di kedudukan keempat keseluruhan dengan 10 pingat emas, 14 perak dan 12 gangsa.
Beliau juga pernah memegang tanggungjawab sebagai ketua kontinjen Sukan SEA 2001 serta jawatan di persatuan sukan kebangsaan seperti lumba basikal.
Beliau juga pernah menerima Anugerah Tokoh Sukan Kebangsaan bagi tahun 2022.