Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bertekad untuk menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan sekiranya diberikan peluang untuk turun beraksi dalam saingan Piala Sudirman di Xiamen, China, yang akan bermula dari 27 April hingga 4 Mei depan.
Jelas Sze Fei, bukan mudah untuk beraksi di kejohanan berkenaan dan disebabkan itu, setiap peluang yang diberikan tidak akan dipersiakan begitu sahaja, sebaliknya mereka akan membalas dengan menampilkan aksi cemerlang.
“Ini kali pertama saya menyertai (Piala Sudirman). Sekiranya diberi peluang untuk turun beraksi, kami harap dapat menunjukkan prestasi terbaik kami,” kata Sze Fei.
Melihat prestasi semasa, beregu lelaki negara menerusi Sze Fei-Izzuddin dan Aaron Chia-Soh Woi Yik akan menjadi taruhan utama buat kem badminton negara dalam mendapatkan mata penting dalam setiap perlawanan.
Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak kejohanan diperkenalkan pada 1989, dengan pencapaian terbaik adalah tiga kali melangkah ke separuh akhir pada edisi 2009, 2021, dan 2023.
Sementara itu, mengulas mengenai kekalahan mereka dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, kepada wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi pada suku akhir Jumaat lalu, Sze Fei berpendapat bahawa pasangan tuan rumah berjaya mengambil mata penting dalam situasi genting.
“Perlawanan ini memang sangat sengit dari segi mata (berkejaran mata), dan saya rasa mereka lebih berani untuk melakukan pukulan dalam mata-mata penting. Saya rasa itulah kunci kejayaan mereka,” katanya 6selepas tewas dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-18, 20-22.
Bagi Izzuddin pula, dia akan melihat kembali aksi berkenaan dan cuba memperbaiki semula permainan mereka untuk tampil lebih baik pada perlawanan akan datang.
“Saya rasa kita boleh beraksi lebih baik dengan persembahan kita, tapi terdapat beberapa bahagian yang perlu kita tingkatkan lagi,” katanya.
Untuk rekod, pada edisi BAC 2024, Sze Fei-Izzuddin berjaya mara ke pentas final sebelum tewas kepada beregu nombor satu China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 17-21, 21-15, 10-21.