Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad Bunga Raya 15s dalam fasa akhir berdepan Sri Lanka

Kuala Lumpur: Skuad ragbi 15 sebelah negara (15s) kini dalam fasa akhir sebelum memulakan aksi menentang Sri Lanka dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 pada 19 April ini.

Ketua jurulatih negara, Saizul Hafifi Md Noor berkata, selepas menjalani beberapa sesi latihan intensiti tinggi termasuk tiga perlawanan persahabatan, beliau melihat setiap pemain kini berada di prestasi terbaik dan setiap daripada mereka sudah memberikan yang terbaik mengikut perancangan yang sudah ditetapkan.

“Alhamdulillah, selepas selesai tiga fasa latihan termasuk aksi persahabatan, saya nampak impak positif, terutama dari segi persediaan pasukan dan pemain.

“Saya lihat pemain berada dalam keadaan yang bersedia dan yang paling penting adalah semua pemain dalam keadaan baik serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Perlawanan antara Sri Lanka dan Malaysia akan berlangsung di Stadium Racecourse dan aksi itu cukup penting buat skuad bimbingan Saizul kerana ia akan menjadi penentu sama ada Malaysia mampu kekal dalam Divisyen Premier atau terpaksa turun ke Divisyen Satu musim depan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan akan membawa 23 pemain terbaik ke Colombo dan kriteria pemilihan setiap individu berdasarkan persembahan dan prestasi semasa dalam latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Insya-Allah kita akan ambil masa yang kita ada sebelum kita berlepas ke Sri Lanka untuk memperbaiki sedikit sebanyak yang kurang dan pemilihan terakhir akan dibuat berdasarkan daripada tiga perlawanan yang lepas dan kita akan bawa pasukan yang terbaik,” katanya.

Selain itu, jurulatih negara itu turut memaklumkan walaupun Sri Lanka memiliki kelebihan dari segi kepantasan, saiz fizikal kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza.

Dalam aksi pemanas badan, Malaysia mencatat kemenangan bergaya 38-10 ke atas Kelab Ragbi Dungun, (22-5) KL Tigers dan 28-7 ke atas Muamalat Bullets, baru-baru ini.