Kuala Lumpur: Kejayaan pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih pingat emas acara keirin pada kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Turkiye, bulan lalu mendapat pengiktirafan apabila kerajaan negeri Johor memberikan ganjaran berjumlah RM50,000 kepadanya.
Shah yang berkongsi detik manis itu di Instagram miliknya berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) atas pengiktirafan itu.
Pelumba berusia 30 tahun itu juga mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyerahkan sendiri ganjaran itu kepadanya.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga saya ucapkan kepada YAB Menteri Besar Johor, Dato’ @onhafiz atas jemputan ke kediaman rasmi.
“Di bulan Syawal yang mulia ini, kehadiran saya bukan sahaja diberi peluang untuk merapatkan silaturahim, malah turut membawa kegembiraan atas kejayaan meraih pingat emas tempoh hari.
“Sebagai anak jati Johor, saya amat bersyukur dan bangga dengan sokongan padu yang sentiasa diberikan oleh kerajaan negeri Johor sepanjang perjalanan karier saya sebagai atlet.
“Kerajaan negeri Johor juga sangat komited dalam membantu dan menyokong atlet kelahiran negeri ini bagi merealisasikan impian emas Malaysia, khususnya demi mengharumkan nama negeri Johor.
“Saya yakin kejayaan ini adalah hasil doa dan sokongan daripada pelbagai pihak. Semoga iringan sokongan ini terus menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar, Insya-Allah,” tulis Shah di akaun media sosialnya.
Pada saingan di Turkiye, meskipun masih dibelenggu kecederaan lutut kanan, Shah tetap mempamerkan kayuhan bertenaga apabila dia berjaya memintas pesaingnya beberapa meter menuju ke garisan penamat di Velodrom Konya.
Ia adalah emas pertama yang diraih Shah Firdaus pada kejohanan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sekali gus kejayaan terbesar dalam kerjayanya setakat ini.
Pelumba Perancis yang juga bekas pemenang pingat gangsa Olimpik dalam acara pecut berpasukan, Sebastien Vigier terpaksa akur di tempat kedua, manakala juara Asia dari Jepun, Shinji Nakano membawa pulang gangsa.