KUALA LUMPUR: Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau 18 tahun negara untuk merangkul gelaran juara dalam kategori beregu lelaki di Kejohanan Badminton Asia (BAC) apabila melakar kemenangan di pentas final di Ningbo, China hari ini.
Seperti aksi peringkat empat terakhir, bekas juara dunia itu hanya memerlukan aksi straight set 21-19, 21-17 untuk mengalahkan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Tiba di gelanggang sebagai pilihan, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking enam dunia tampil dengan corak permainan agresif dan ia tampak sukar dibalas Bo Yang-Liu Yi.
Sentiasa mendahului permainan, Aaron-Wooi Yik menamatkan permainan set pertama dengan smash kencang ke kanan gelanggang yang gagal dibaca Liu Yi.
Pada set kedua, permainan sedikit goyah ditampilkan pasangan negara malah pada satu ketika ketinggalan 8-12.
Tetapi bagaikan tidak terkesan situasi itu termasuk dengan sokongan ribuan peminat tuan rumah, mereka bangkit mendahului 13-12 dan terus di depan sehingga permainan berakhir dalam tempoh 47 minit.
Kemenangan menyaksikan Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,000 (RM163,715).
Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara di BAC adalah menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah ketika edisi 2007.