Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives April 13, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang mencipta sejarah

Tahniah diucapkan kepada gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang mencipta sejarah sebagai Juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.

Mereka menewaskan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang dan Liu Yi, dengan kemenangan bergaya dalam straight set (21-19, 21-17) hanya dalam masa 47 minit.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron-Wooi Yik bergelar ‘Raja Asia’, kaut RM163,715

KUALA LUMPUR: Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan kemarau 18 tahun negara untuk merangkul gelaran juara dalam kategori beregu lelaki di Kejohanan Badminton Asia (BAC) apabila melakar kemenangan di pentas final di Ningbo, China hari ini.

Seperti aksi peringkat empat terakhir, bekas juara dunia itu hanya memerlukan aksi straight set 21-19, 21-17 untuk mengalahkan pasangan tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.

Tiba di gelanggang sebagai pilihan, Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking enam dunia tampil dengan corak permainan agresif dan ia tampak sukar dibalas Bo Yang-Liu Yi.

Sentiasa mendahului permainan, Aaron-Wooi Yik menamatkan permainan set pertama dengan smash kencang ke kanan gelanggang yang gagal dibaca Liu Yi.

Pada set kedua, permainan sedikit goyah ditampilkan pasangan negara malah pada satu ketika ketinggalan 8-12.

Tetapi bagaikan tidak terkesan situasi itu termasuk dengan sokongan ribuan peminat tuan rumah, mereka bangkit mendahului 13-12 dan terus di depan sehingga permainan berakhir dalam tempoh 47 minit.

Kemenangan menyaksikan Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$37,000 (RM163,715).

Sebagai rekod, kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara di BAC adalah menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah ketika edisi 2007.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Shah Firdaus terima ‘duit raya’ RM50,000 dari kerajaan Johor

Kuala Lumpur: Kejayaan pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih pingat emas acara keirin pada kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Turkiye, bulan lalu mendapat pengiktirafan apabila kerajaan negeri Johor memberikan ganjaran berjumlah RM50,000 kepadanya.

Shah yang berkongsi detik manis itu di Instagram miliknya berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, kerajaan negeri serta Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) atas pengiktirafan itu.

Pelumba berusia 30 tahun itu juga mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menyerahkan sendiri ganjaran itu kepadanya.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga saya ucapkan kepada YAB Menteri Besar Johor, Dato’ @onhafiz atas jemputan ke kediaman rasmi.

“Di bulan Syawal yang mulia ini, kehadiran saya bukan sahaja diberi peluang untuk merapatkan silaturahim, malah turut membawa kegembiraan atas kejayaan meraih pingat emas tempoh hari.

“Sebagai anak jati Johor, saya amat bersyukur dan bangga dengan sokongan padu yang sentiasa diberikan oleh kerajaan negeri Johor sepanjang perjalanan karier saya sebagai atlet.

“Kerajaan negeri Johor juga sangat komited dalam membantu dan menyokong atlet kelahiran negeri ini bagi merealisasikan impian emas Malaysia, khususnya demi mengharumkan nama negeri Johor.

“Saya yakin kejayaan ini adalah hasil doa dan sokongan daripada pelbagai pihak. Semoga iringan sokongan ini terus menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar, Insya-Allah,” tulis Shah di akaun media sosialnya.

Pada saingan di Turkiye, meskipun masih dibelenggu kecederaan lutut kanan, Shah tetap mempamerkan kayuhan bertenaga apabila dia berjaya memintas pesaingnya beberapa meter menuju ke garisan penamat di Velodrom Konya.

Ia adalah emas pertama yang diraih Shah Firdaus pada kejohanan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sekali gus kejayaan terbesar dalam kerjayanya setakat ini.

Pelumba Perancis yang juga bekas pemenang pingat gangsa Olimpik dalam acara pecut berpasukan, Sebastien Vigier terpaksa akur di tempat kedua, manakala juara Asia dari Jepun, Shinji Nakano membawa pulang gangsa.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Fatin Nurfatehah intai peluang ke LA28

Kuala Lumpur: Pemanah elit wanita negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh optimis terhadap peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) masih ada selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan penambahan acara compound menerusi kategori berpasukan campuran pada edisi berkenaan.

Jelasnya, meskipun belum mengetahui secara terperinci mengenai format kelayakan, berita itu sedikit sebanyak menggembirakan dirinya selepas beberapa kali acara compound campuran cuba menembusi pentas Olimpik sebelum ini tetapi tidak berjaya.

“Kita perlu menunggu pengesahan rasmi daripada pihak berwajib berkenaan format rasmi tetapi dari segi peluang, memang ada dan ia bergantung kepada program latihan.

“Dari segi perasaan saya, sudah pasti gembira dan teruja sebab kita tahu sudah lama, saya rasa dari Tokyo 2020 lagi yang acara compound (campuran) cuba diadakan tapi tak dapat dan akhirnya baru dimasukkan walaupun satu acara sahaja,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, dari segi latihan, Fatin memaklumkan bahawa dirinya belum menerima arahan daripada pihak kejurulatihan dan akan terus berlatih seperti biasa tetapi menjangkakan ada beberapa perubahan akan berlaku sebagai persediaan ke LA28.

“Setakat ini, belum ada perubahan sebab ini berita baharu, jadi, masih sama (sistem latihan) dan saya ada dengar mungkin persatuan akan buat format pemilihan baharu berdasarkan merit. Saya pun tak pasti lagi berkenaan ini.

“Kemungkinan besar dari segi sistem latihan mungkin akan berubah sebab kita perlukan persiapan yang rapi menuju LA28,” katanya.

Untuk rekod, sukan memanah akan memperlihatkan lima acara sedia ada membabitkan kategori recurve: individu lelaki dan wanita, berpasukan lelaki dan wanita, serta berpasukan campuran.

Dengan pengumuman daripada IOC itu, sudah pasti gandingan Fatin bersama Mohd Juwaidi Mazuki akan menjadi taruhan utama untuk layak kerana mereka mempunyai pengalaman yang cukup luas selain meraih pencapaian positif di peringkat dunia dalam acara campuran.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad Bunga Raya 15s dalam fasa akhir berdepan Sri Lanka

Kuala Lumpur: Skuad ragbi 15 sebelah negara (15s) kini dalam fasa akhir sebelum memulakan aksi menentang Sri Lanka dalam aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 pada 19 April ini.

Ketua jurulatih negara, Saizul Hafifi Md Noor berkata, selepas menjalani beberapa sesi latihan intensiti tinggi termasuk tiga perlawanan persahabatan, beliau melihat setiap pemain kini berada di prestasi terbaik dan setiap daripada mereka sudah memberikan yang terbaik mengikut perancangan yang sudah ditetapkan.

“Alhamdulillah, selepas selesai tiga fasa latihan termasuk aksi persahabatan, saya nampak impak positif, terutama dari segi persediaan pasukan dan pemain.

“Saya lihat pemain berada dalam keadaan yang bersedia dan yang paling penting adalah semua pemain dalam keadaan baik serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Perlawanan antara Sri Lanka dan Malaysia akan berlangsung di Stadium Racecourse dan aksi itu cukup penting buat skuad bimbingan Saizul kerana ia akan menjadi penentu sama ada Malaysia mampu kekal dalam Divisyen Premier atau terpaksa turun ke Divisyen Satu musim depan.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan akan membawa 23 pemain terbaik ke Colombo dan kriteria pemilihan setiap individu berdasarkan persembahan dan prestasi semasa dalam latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini.

“Insya-Allah kita akan ambil masa yang kita ada sebelum kita berlepas ke Sri Lanka untuk memperbaiki sedikit sebanyak yang kurang dan pemilihan terakhir akan dibuat berdasarkan daripada tiga perlawanan yang lepas dan kita akan bawa pasukan yang terbaik,” katanya.

Selain itu, jurulatih negara itu turut memaklumkan walaupun Sri Lanka memiliki kelebihan dari segi kepantasan, saiz fizikal kedua-dua pasukan tidak jauh berbeza.

Dalam aksi pemanas badan, Malaysia mencatat kemenangan bergaya 38-10 ke atas Kelab Ragbi Dungun, (22-5) KL Tigers dan 28-7 ke atas Muamalat Bullets, baru-baru ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sze Fei-Izzuddin sedia tampil aksi terbaik di Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Beregu lelaki utama negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bertekad untuk menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan sekiranya diberikan peluang untuk turun beraksi dalam saingan Piala Sudirman di Xiamen, China, yang akan bermula dari 27 April hingga 4 Mei depan.

Jelas Sze Fei, bukan mudah untuk beraksi di kejohanan berkenaan dan disebabkan itu, setiap peluang yang diberikan tidak akan dipersiakan begitu sahaja, sebaliknya mereka akan membalas dengan menampilkan aksi cemerlang.

“Ini kali pertama saya menyertai (Piala Sudirman). Sekiranya diberi peluang untuk turun beraksi, kami harap dapat menunjukkan prestasi terbaik kami,” kata Sze Fei.

Melihat prestasi semasa, beregu lelaki negara menerusi Sze Fei-Izzuddin dan Aaron Chia-Soh Woi Yik akan menjadi taruhan utama buat kem badminton negara dalam mendapatkan mata penting dalam setiap perlawanan.

Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah menjulang trofi Piala Sudirman sejak kejohanan diperkenalkan pada 1989, dengan pencapaian terbaik adalah tiga kali melangkah ke separuh akhir pada edisi 2009, 2021, dan 2023.

Sementara itu, mengulas mengenai kekalahan mereka dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China, kepada wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi pada suku akhir Jumaat lalu, Sze Fei berpendapat bahawa pasangan tuan rumah berjaya mengambil mata penting dalam situasi genting.

“Perlawanan ini memang sangat sengit dari segi mata (berkejaran mata), dan saya rasa mereka lebih berani untuk melakukan pukulan dalam mata-mata penting. Saya rasa itulah kunci kejayaan mereka,” katanya 6selepas tewas dalam pertarungan tiga set 16-21, 21-18, 20-22.

Bagi Izzuddin pula, dia akan melihat kembali aksi berkenaan dan cuba memperbaiki semula permainan mereka untuk tampil lebih baik pada perlawanan akan datang.

“Saya rasa kita boleh beraksi lebih baik dengan persembahan kita, tapi terdapat beberapa bahagian yang perlu kita tingkatkan lagi,” katanya.

Untuk rekod, pada edisi BAC 2024, Sze Fei-Izzuddin berjaya mara ke pentas final sebelum tewas kepada beregu nombor satu China, Liang Wei Keng-Wang Chang, 17-21, 21-15, 10-21.

Majlis Sukan Negara Malaysia