Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Farah idam tingkat martabat boling padang

Kuala Lumpur: Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah mahu mengubah persepsi ramai bahawa sukan yang diceburinya itu adalah untuk golongan veteran sahaja.

Jelas atlet berusia 24 tahun itu yang kini memegang status selaku pemain nombor satu dunia, dia mahu meningkatkan martabat sukan itu yang sebenarnya sesuai untuk diceburi oleh setiap lapisan umur.

“Kalau ikutkan usia saya dengan atlet dari luar negara, kebanyakan mereka berusia 40 tahun ke atas sedangkan saya baru berumur 24 tahun.

Kalau bertanding di mana-mana saya adalah peserta paling muda.”Di luar negara sukan ini mungkin kurang popular dan dilabel ‘sukan veteran’. Setakat ini kurang nampak golongan muda di luar negara bermain sukan ini,” katanya.

Jelas Farah, perkara paling penting untuk meraih pencapaian sepertinya adalah minat yang mendalam terhadap sukan boling padang.

“Walaupun saya pernah terbabit dengan beberapa sukan lain, tapi saya rasa sukan boling padang ini lebih seronok. Kadangkala ketika sesi latihan, memang biasa kena marah (oleh jurulatih) tetapi lama kelamaan sukan ini sudah menjadi hobi,” katanya.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series, atlet negara berusia 24 tahun itu kini menduduki kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 683 mata manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tangga ketiga dengan 676 mata.

Nama Farah mencuri perhatian selepas dia melakar sejarah dengan meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.

Kejayaan muncul pemain nombor satu dunia melonjakkan semangatnya untuk mempertahankan gelaran di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Scotland dari 20 hingga 25 April ini.