Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ken Nee rancang strategi lebih mantap buat penerjun negara

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Program Terjun Kebangsaan, Yeoh Ken Nee mengadakan sesi bedah siasat bagi mengenal pasti punca utama dan mencari solusi terbaik untuk memastikan atlet negara dapat tampil lebih cemerlang pada kejohanan akan datang.

Beliau bertemu dengan penerjun untuk mendengar permasalahan mereka sebelum tampil dengan strategi lebih ampuh buat wakil negara itu.

“Kami berbincang dengan setiap atlet secara individu untuk mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki.

“Dari segi latihan, semua berada pada tahap baik, tetapi mungkin aspek psikologi dan keyakinan perlu diberikan lebih tumpuan.

“Kami menilai strategi lebih sesuai untuk memastikan mereka dapat menampilkan prestasi terbaik dalam pertandingan akan datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi wakil negara di Kejohanan Piala Dunia Terjun 2025 di Mexico, Ken Nee yakin Enrique Maccartney Harold mampu tampil dengan lebih cemerlang selepas ini.

Baginya, Enrique sudah memberikan yang terbaik sesuai dengan jangkaan dan prestasi semasanya pada kejohanan itu, namun penerjun dari negara lain beraksi lebih baik.

“Saingan di Mexico sememangnya sengit dan kita dapat lihat Enrique tidak terlalu jauh berbanding pesaingnya.

“Jadi, secara keseluruhannya, Enrique berada dalam lingkungan yang baik, namun ada beberapa aspek perlu diperbaiki,” katanya. kedudukan terbaik untuk layak ke pusingan akhir.

Pandelela akan meneruskan perjuangan di peringkat seterusnya di Windsor, Kanada, yang akan bermula dari 10 hingga 13 April, sebelum menyertai pusingan akhir di Beijing, China pada 2 hingga 4 Mei.