Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PERKHIDMATAN PERUNDING DAN PENSIJILAN MS ISO 9001:2015 (QUALITY MANAGEMENT SYSTEM) DI KOMPLEKS SAUJANA, ASAHAN, MELAKA

Tawaran adalah dipelawa kepada syarikat-syarikat tempatan yang beroperasi di sekitar Negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor serta berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia yang masih sah tempohnya di bawah kod bidang seperti berikut :-

222704 – PENSIJILAN DAN PENGIKTIRAFAN

NO. SEBUT HARGA : MSN/SH/004/2025 (SPK)
TAJUK SEBUTHARGA : PERKHIDMATAN PERUNDING DAN PENSIJILAN MS ISO 9001:2015 (QUALITY MANAGEMENT SYSTEM) DI KOMPLEKS SAUJANA, ASAHAN, MELAKA
TARIKH BUKA : 4 MAC 2025 (SELASA)
TARIKH TUTUP : 13 MAC 2025 (KHAMIS)
SEBELUM PUKUL 12.00 TENGAHARI

Dokumen sebut harga perlu dihantar bersama Sijil Pendaftaran Syarikat (SSM), Sijil Pendaftaran CIDB, Sijil Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan Malaysia, Profail Syarikat, Sijil Pematuhan Cukai atau Tax Compliance Certificate (TCC) dan satu(1) salinan penyata bank syarikat yang terkini.

Dokumen sebut harga yang telah lengkap hendaklah dimasukkan ke dalam sampul surat yang bermeteri dan bertanda dengan No. Sebut Harga dan Tajuk di sebelah kiri atas sampul surat dan hendaklah dimasukkan ke dalam Peti Sebut Harga seperti alamat di bawah :

Lobi Aras 1 (Belakang) Bangunan Pentadbiran Majlis Sukan Negara Malaysia Kompleks Sukan Negara 57000 Bukit Jalil Kuala Lumpur

Dokumen sebut harga yang dikemukakan selepas tarikh dan masa tutup sebut harga tidak akan diterima.

Pihak syarikat yang memerlukan penjelasan lanjut hendaklah menghubungi pegawai berikut :-

Cik Norfarizan Noordin ( Urusetia Perolehan ) : 03-89929066
Pn. Shakira Yahaya (Spesifikasi Pembekalan) : 03-89929041

Iklan

Akuan Pembida

Maklumat Pemyebutharga

Spesifikasi

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PROJEK PEMBINAAN DIVING POOL DI DRY GYM SEDIA ADA KOMPLEKS SUKAN NEGARA BUKIT JALIL -TENDER SEMULA
Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ken Nee dilantik pengarah teknikal terjun

Kuala Lumpur: Bekas penerjun negara, Yeoh Ken Nee kembali ke kem terjun negara selepas dilantik secara rasmi menjawat jawatan pengarah teknikal terjun kebangsaan yang baharu sekali gus mengesahkan spekulasi bertiup kencang beberapa minggu ini.

Ken Nee dilantik menggantikan kekosongan ditinggalkan bekas rakan sepasukannya, Bryan Nickson Lomas yang meletakkan jawatan untuk bergelar jurulatih di luar negara.

Untuk rekod Bryan memegang jawatan itu sejak Oktober 2023. Setiausaha Agung Malaysia Aquatics (MAS), Andy Low, memaklumkan Ken Nee sudah melapor diri di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil hari ini.

“Ken Nee menandatangani kontraknya hari ini dan terus melapor diri. Kami memilih beliau untuk menggantikan Bryan kerana kepakaran dan pengalaman luasnya dalam sukan ini, baik sebagai pesaing mahupun jurulatih.

“Ken Nee akan meneruskan pelan digariskan oleh Bryan dan akan melakukan penambahbaikan di mana perlu,” katanya.

Semasa tempoh Bryan sebagai pengarah teknikal, beliau membantu mewujudkan rangka kerja untuk menghidupkan semula sukan terjun Malaysia yang mengalami penurunan prestasi dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Nama Ken Nee bukanlah asing dalam sukan terjun dan menjadi sebahagian daripada kumpulan perintis penerjun untuk latihan sepenuh masa di bawah program Jaya ’98.

Beliau mencatatkan sejarah sebagai penerjun lelaki Malaysia pertama yang berjaya ke peringkat akhir Olimpik, menduduki tempat ke-10 dalam acara individu papan anjal 3m lelaki di Olimpik London 2012.

Selepas bersara dari terjun kompetitif, beliau beralih ke bidang kejurulatihan dan yang terbaru berkhidmat sebagai ketua jurulatih pasukan terjun Wilayah Persekutuan (FT).

Selain daripada kejurulatihan, Ken Nee juga seorang juri bertauliah dan salah seorang daripada pegawai dari Asia yang menghakimi acara terjun di Olimpik Paris tahun lalu.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Beregu pelapis mental tak kuat

Kuala Lumpur: Pemain pelapis beregu badminton lelaki negara memerlukan kekuatan mental yang tinggi untuk ‘bersinar’ di pentas antarabangsa selepas menyaksikan satu demi satu gagal melangkah ke final dalam Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025 yang berakhir semalam.

Ketua jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan kekurangan itu menjadi faktor pemain dihantar tidak berupaya mencontohi langkah positif pemain senior mereka.

“Saya memerlukan masa untuk ubah sedikit cara mereka bermain. Kalau tengok pada latihan memang mereka tunjuk peningkatan namun ia berbeza semasa bertanding.

“Saya perlu analisis semula perkara itu kerana kemungkinan kekuatan mental mereka menurun semasa bertanding,” katanya.

Kem badminton menghantar enam beregu lelaki namun kesemuanya gagal melangkah ke aksi final kejohanan itu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan US$17,500 (kira-kira RM78,091).

Bagaimanapun, Malaysia tidak pulang tangan kosong selepas perseorangan profesional lelaki Aidil Sholeh Ali Sadikin menjadi wakil tunggal negara muncul juara Cabaran Antarabangsa itu.

Pemain ranking ke-68 dunia itu hanya memerlukan 47 minit untuk menewaskan pemain nombor 210 dunia dari India, Pranay Katta 21-19 21-15 dalam aksi final di Kompleks Sukan St Joseph, Colombo.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang terbaik beregu akhiri kemarau Seluruh England

Kuala Lumpur: Mampukah enam wakil beregu lelaki negara yang akan beraksi di pentas Seluruh England menamatkan kemarau kejuaraan di kejohanan tertua itu dari 11 hingga 16 Mac ini.

Bekas pemain beregu negara Tan Boon Heong melihat situasi itu sebagai peluang terbaik untuk membawa pulang gelaran yang kali terakhir dimenangi olehnya ketika bergandingan bersama Koo Kien Keat pada 2007 selepas menewaskan Cai Yun-Fu Hai Feng dari China.

Barisan beregu lelaki negara kali ini akan diketuai beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan Boon Heong melihat ia masa terbaik untuk Malaysia membawa pulang gelaran Seluruh England dalam acara beregu lelaki.

“Peluang untuk menang kali ini amat cerah. Kita ada enam beregu lelaki jadi, peluang itu sangat tinggi. Saingan sangat terbuka dalam acara beregu lelaki walaupun ada pemain kita tidak begitu konsisten.

“Inilah masanya untuk kita bawa pulang gelaran juara sebab sudah terlalu lama kita tak menang sejak 2007. Jadi nasihat saya, berilah yang terbaik dan bagi cabaran kepada beregu lain,” katanya.

Selain Sze Fei-Izzuddin dan Aaron-Wooi Yik, kem beregu lelaki negara akan turut dibarisi Wei Chong-Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Mengulas mengenai kemampuan Sze Fei-Izzuddin yang kini bergelar beregu lelaki nombor satu negara, Boon Heong yakin akan kemampuan mereka namun dalam pada masa sama enggan menafikan peluang pasangan yang lain untuk muncul juara Seluruh England.

Mungkin lima beregu lelaki negara termasuk Aaron-Wooi Yik mampu untuk melakukan kejutan biarpun di atas kertas laluan mungkin berliku berikutan kecederaan pergelangan tangan berulang mengganggu rentak Aaron.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jackie tak patah semangat tanpa jurulatih

Kuala Lumpur: Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong mengakui dia berdepan laluan penuh berliku tahun ini apabila sudah hampir setahun setengah tidak mempunyai jurulatih.

Begitupun, atlet kelahiran Sarawak itu tetap bersemangat untuk terus mewakili dan mengharumkan nama negara apabila sudahpun mengesahkan tempat ke temasya Sukan Sea Thailand hujung tahun ini secara merit selepas berjaya melakukan balingan 62.04 meter (m) di Mokpo, Korea Selatan, tahun lalu.

Bagaimanapun, perjalanannya itu tidak mudah, apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk menyertai kejohanan berkenaan, selepas permintaannya untuk menyertai kejohanan luar beberapa kali ditolak.

“Saya masih berhasrat untuk mewakili negara. Hasrat itu tidak pernah pudar biarpun sudah hampir setahun lebih saya tidak mempunyai jurulatih selepas jurulatih sebelum ini Gu Yuan ditamatkan kontrak.

“Saya sendiri tidak tahu apa perancangan untuk saya sekarang ini. Walaupun sekarang bergelar jurulatih di Sarawak, tapi sebagai atlet saya masih perlukan jurulatih. Itu satu cabaran besar bagi saya,” katanya.

Dalam tempoh tidak sampai 10 bulan ini sebelum temasya Sukan Sea bermula, Jackie menegaskan dia mungkin terpaksa memikirkan beberapa pendekatan lain sekiranya masih dibiarkan terkapai-kapai tanpa jurulatih.

“Saya sekarang berlatih sendiri begitu juga dengan seorang lagi atlet baling tukul besi negara, Grace Wong pun berlatih sendiri. Dalam masa singkat ini memang susah kalau saya berlatih dengan jurulatih baharu. Jadi saya berhasrat untuk kembali berlatih dengan jurulatih Gu di China untuk beberapa bulan sebelum ke Sukan Sea,” katanya.

Jackie bersama Grace antara atlet cemerlang dalam acara baling tukul besi dan tidak pernah terlepas menghadiahkan pingat buat negara di temasya dwi tahunan itu.

Pemilik rekod kebangsaan dengan jarak 68.22m itu meraih meraih dua emas ketika Sukan Sea Kuala Lumpur (2017) dan Hanoi (2021) dan meraih perak ketika di Filipina (2019) dan Kemboja.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Ia satu proses, masa tidak pernah gagal, perlahan tetap pasti – Azeem

Kuala Lumpur: Rekod baharu dalam acara 60 meter (m) dicatatkan Muhammad Azeem Fahmi, kelmarin meletakkan pelari kelahiran Perak itu di kelas tersendiri.

Azeem merekodkan 6.56 saat (s) untuk merangkul pingat gangsa di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025 memadamkan rekod lama miliknya 6.60s yang dilakukan dalam tempoh kurang sebulan, sekali gus meletakkan dirinya dalam kelompok 10 pelari terbaik Universiti Auburn.

Azeem kini berada di kedudukan kelapan dalam senarai 10 pelari terbaik, sekali gus mencerahkan peluangnya untuk beraksi di pusingan akhir kejohanan NCAA pada 14-15 Mac ini.

“Ia satu proses, masa tidak pernah gagal, perlahan tetap pasti,” tulis Azeem di laman sosial miliknya selepas diumumkan berada di dalam kedudukan kelapan terbaik universitinya.

Pencapaian itu dilihat satu permulaan memberangsangkan buat pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2022 dengan tiga kejohanan besar menjadi keutamaannya tahun ini iaitu Kejohanan Universiti Dunia, Kejohanan Dunia dan Sukan Sea, Thailand, Disember ini.

Terdahulu, Azeem mencipta sensasi apabila mencatatkan rekod baru 60m dengan catatan 6.56s untuk berada di tempat ketiga pada aksi final yang berlangsung di Bryan-College Station, Texas, Amerika Syarikat (AS).

Catatan itu menyaksikan atlet berusia 20 tahun itu memperbaharui rekod kebangsaan miliknya, 6.60s dalam acara sama yang dilakukan pada Kejohanan Jemputan Tiger Paw di California, AS pada 14 Februari lalu.

Emas acara 60m itu dimenangi Jordan Antony dari AS yang mewakili University of Arkansas dengan catatan 6.54s manakala rakan sepasukan Azeem, Israel Okon dari Nigeria akur di tempat kedua yang hanya dibezakan 0.01s.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
TAWARAN MELANJUTKAN PENGAJIAN SARJANA DALAM BIDANG PENGURUSAN SUKAN DARI SEOUL NATIONAL UNIVERSITY (SNU)

Seoul National University (SNU) telah memperkenalkan Dream Together Master (DTM) di mana ianya merupakan program siswazah bertujuan untuk mendidik pemimpin masa depan dalam bidang pengurusan sukan.  Program ini adalah sebahagian daripada projek kebangsaan yang disokong oleh Korean Ministry of Culture, Sports and Tourism dan Korea Sports Promotion Foundation.

Antara keistimewaan program DTM di Seoul, Korea Selatan adalah:

•  Menawarkan pengajian sarjana dalam bidang pengurusan sukan

•  Tempoh mengajian selama 17 bulan secara sepenuh masa di  SNU

•  Terbuka kepada bekas atlet di semua peringkat umur (tiada had umur untuk permohonan)

•  mempunyai kelayakan pengajian ijazah sarjana atau setara

•  Biasiswa penuh disediakan bagi calon yang terpilih, termasuk:

       ◦  Tiket penerbangan

       ◦  Yuran tuisyen

       ◦  Penginapan

       ◦  Kos sara hidup

•  Program ini sepenuhnya dijalankan dalam bahasa Inggeris. 

*  Untuk keterangan lanjut sila layari :-

    dtm.snu.ac.kr

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
BENGKEL HALA TUJU SKIM BIASISWA SUKAN PERSEKUTUAN KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Bengkel Hala Tuju Skim Biasiswa Sukan Persekutuan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) telah dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia, KBS pada 24 hingga 26 Februari 2025 bertempat di Hotel Mercure, Glenmarie, Kuala Lumpur. Bengkel ini turut dihadiri oleh Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

Antara penambahbaikan yang telah dibincangkan adalah:

•  menambah baik surat ikatan amanah dan syarat penawaran BSP

•  penyemakan semula kluster bidang kursus dan pengemaskinian kadar baharu skim BSP

•  kategori atlet dan bekas atlet

•  Skim BSP juga, termasuk:

       ◦  Tiket penerbangan

       ◦  Yuran pengajian

       ◦  Elaun Buku

       ◦  Kos sara hidup

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aidil Sholeh juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan profesional lelaki negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin melakar kejayaan bermakna dalam kariernya selepas muncul juara Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025 hari ini.

Pemain ranking ke-68 dunia itu hanya memerlukan 47 minit untuk menewaskan pemain nombor 210 dunia dari India, Pranay Katta 21-19, 21-15 dalam aksi final di Kompleks Sukan St Joseph, Colombo.

Ia kejuaraan antarabangsa kedua buat pemain berusia 25 tahun itu selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Indonesia 2023 dan yang pertama sejak meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lepas.

Terdahulu, dia berjaya mara ke final selepas menewaskan atlet tuan rumah, Viren Nettasinghe 21-16 21-18 pada aksi separuh akhir.

Kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah USD17,500 (kira-kira RM78,091).

Majlis Sukan Negara Malaysia