Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Seluruh England: Kemarau 18 tahun bakal berakhir?

DUA beregu lelaki utama menjadi sandaran negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan Seluruh England di Birmingham minggu depan selepas kali terakhir dimenangi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 18 tahun lalu.

Ketika ini harapan peminat tertumpu ke arah pasangan nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berada di kedudukan kelima untuk menyempurnakan misi juara itu.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang merupakan juara Terbuka India mungkin akan bertemu semula dengan Kim Won-ho dan Seo Seung-jae dalam saingan pusingan kedua – pasangan sama yang mereka kalahkan di New Delhi Januari lalu.

Bagaimanapun pasangan Korea Selatan yang baru digandingkan itu berada di puncak kejayaan selepas merangkul gelaran Terbuka Jerman Ahad lalu dan menjuarai Terbuka Malaysia awal tahun ini.

Sze Fei-Nur Izzuddin bagaimanapun perlu mengatasi pasangan berpengalaman dari Korea Selatan, Kim Gi-jung dan Kim Sa-rang pada pusingan pertama.

Pada pertembungan suku akhir pula, pasangan profesional itu berpotensi menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Andai Sze Fei-Nur Izzuddin berpeluang mara ke separah akhir, menanti mereka ialah juara bertahan dua kali dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Bagi Aaron-Wooi Yik, naib juara bagi edisi 2019 dan 2023, perlawanan pembukaan mereka menentang pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Ia diikuti dengan kemungkinan pertemuan pada pusingan ke-16 dengan adik-beradik Popov dari Perancis, Christo dan Toma Junior.

Jika berjaya melangkah ke suku akhir, Aaron-Wooi Yik dijadual menentang pasangan nombor tiga dunia, Wang Chang-Liang Wei Keng dari China.

Selain dua gandingan utama, cabaran Malaysia pada kejohanan berprestij yang bermula 11 hingga 16 Mac itu ialah Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang akan menentang pasangan, tuan rumah Ben Lane-Sean Vendy pada pusingan pertama.

Wan Arif Junaidi-Yap Roy King pula akan berdepan dengan pasangan China, Huang Di-Liu Yang, manakala Nur Mohd Azrin Ayub-Tan Wee Kiong bakal bertarung dengan pasangan Korea Selatan, Kang Min-hyuk serta Ki Dong-ju.

Sebagai rekod, Boon Heong-Kien Keat muncul juara Seluruh England pada 2007 selepas menewaskan pasangan nombor satu dunia ketika itu, Cai Yun dan Fu Haifeng dari China 21-15, 21-18 dalam masa 39 minit.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Rezeki Ramadan Nor Farah

PEMAIN boling padang nombor satu dunia, Nor Farah Ain Abdullah enggan menoleh ke belakang lagi apabila bertekad untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Gelaran tersebut menjadi tonik tambahan buat pemain berusia 24 tahun itu yang akan menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Aberdeen, Scotland bulan depan.

Malah, Nor Farah juga tidak mahu berasa tertekan dengan status tersebut, sebaliknya hanya ingin fokus kepada pertandingan dan mempertingkatkan lagi prestasi permainan.

“Bagi saya corak permainan ketika bertanding yang akan menentukan siapa pemenang. Jadi saya hanya mahu fikir positif dan seronok dengan permainan.

“Itu yang saya amal dan terapkan di minda ketika setiap kali turun beraksi,” katanya kepada Sukan Sinar.

Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series pada Selasa, Nor Farah menghuni kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.

Pemain dari Scotland, Julie Forest berada di tangga kedua selepas mengumpul 683 mata, manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tempat ketiga dengan 676 mata.

“Syukur Alhamdulillah rezeki yang datang pada bulan Ramadan ini. Sangat gembira apabila tahu saya naik ranking nombor satu.

“Ini adalah atas berkat doa semua yang menyokong saya, ibu bapa saya, barisan jurulatih dan kawan-kawan. Insya-ALLAH saya cuba yang terbaik untuk kekalkan ranking ini demi Malaysia,” katanya.

Nor Farah turut menjelaskan bagi mengekalkan konsistensi dalam permainan beliau menjalani latihan mengikut jadual yang diatur selain perlu mengamalkan rehat yang cukup.

“Saya juga menjalani proses pemulihan kerana ada kecederaan ringan di bahu kanan. Jadi saya perlu banyak buat senaman untuk bahagian tangan dan bahu untuk memastikan momentum latihan berjalan lancar,” katanya.

Sebagai rekod Nor Farah merupakan juara bertahan setelah meraih pingat emas dalam acara individu wanita Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Guernsey, Channel Islands pada April 2024.

Kejuaraan itu diraih selepas beliau menang bergaya 6-2, 6-3 ke atas Connie Rixon dari Malta dalam acara final.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Piala Esports Malaysia 2025 bermula Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Piala Esports Malaysia 2025, yang mempertemukan pasukan terbaik dalam permainan Mobile Legends: Bang Bang akan dianjurkan bermula Sabtu hingga 23 Mac ini.

Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejohanan itu diadakan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia.

Penganjuran itu antara inisiatif memperkasa industri e-sukan tempatan, selain menjadi platform utama pemain profesional dan semi profesional mempamerkan bakat serta kemahiran mereka dalam pertandingan kompetitif.

Sebanyak 16 pasukan dengan masing-masing lapan pasukan daripada Liga MPL Malaysia dan Liga Akademi MLBB (MAL) akan bersaing dalam format kompetitif, sekali gus menjanjikan aksi sengit serta strategi permainan mengagumkan.

Kenyataan itu memaklumkan tiga peringkat utama yang akan dihadapi pasukan bertanding.

“Peringkat kumpulan dari 8 hingga 11 Mac, 16 pasukan akan bertanding secara dalam talian dengan format round-robin BO3.

“Peringkat play-in dari 14 hingga 16 Mac, lapan pasukan yang layak beraksi dengan format double-elimination,” menurut kenyataan itu.

Sementara peringkat akhir pada 22 dan 23 Mac akan diadakan di Pavilion Exhibition Centre, Bukit Jalil. – BERNAMA

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sanjay lakar kejutan di Terbuka New Zealand

Kuala Lumpur: Pemain skuasy lelaki negara Sanjay Jeeva mencatatkan kemenangan terbesar dalam kariernya apabila mengejutkan pemain nombor 22 dunia, Abdulla Al Tamimi dari Qatar untuk mara ke suku akhir Terbuka Skuasy New Zealand 2025 hari ini.

Pemain nombor 65 dunia, Sanjay, menunjukkan permainan terbaiknya untuk menewaskan pemain pilihan kelapan dari Qatar dengan keputusan 10-12, 11-9, 11-6, 5-11, 11-6 dalam perlawanan pusingan kedua yang berlangsung selama 54 minit di Isaac Theatre Royal, Christchurch.

Ganjarannya kerana mara ke suku akhir peringkat pertamanya dalam Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) ialah berdepan dengan rakan senegara dan pilihan ketiga Ng Eain Yow, yang menewaskan pemain New Zealand Oliver Dunbar 11-4, 11-1, 11-3 dalam hanya 32 minit.

“Saya tidak banyak berpeluang beraksi menentang pemain dalam kelompok 50 terbaik dunia. Ini kali pertama saya bertemu dengan Abdulla dan dia adalah pemain dengan ranking tertinggi yang pernah saya tewaskan setakat ini.

“Seperti saya, dia juga gemar bermain di bahagian depan. Saya cuba untuk bermain dengan lebih asas, lebih lurus. Kadang-kadang, apabila saya rasa gugup, saya akan menyerang bahagian depan terlalu awal dan melakukan banyak kesilapan,” kata Sanjay kepada laman web PSA.

Sementara itu, dalam perlawanan pusingan kedua wanita sesama Malaysia, pemain nombor tujuh dunia, S Sivasangari terpaksa berhempas pulas selama lima set sebelum menang 11-5, 8-11, 9-11, 11-8, 11-7 ke atas Aira Azman.

Menanti Sivasangari di suku akhir ialah pemain Mesir, Rowan Elaraby, yang menumbangkan pemain Amerika Syarikat, Marina Stefanoni 11-6, 11-6, 11-8 pada pusingan kedua.

Rekod pertemuan mereka lebih memihak kepada pemain Mesir itu yang mendahului dengan 4-3.

Seorang lagi wakil wanita negara, Rachel Arnold, melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Lee Ka Yi dari Hong Kong 11-4, 11-6, 9-11, 11-9 dalam perlawanan yang berlangsung selama 32 minit.

Rachel yang menduduki ranking nombor 19 dunia, yang sedang berusaha untuk meraih gelaran PSA Silver kedua dalam musim 2024-25 selepas menjuarai Terbuka China pada Oktober lalu, akan menghadapi ujian getir pada suku akhir apabila bertemu pemain nombor lapan dunia dari Mesir, Amina Orfi, yang juga pilihan kedua.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia terus mengorak langkah, Tang Jie-Ee Wei tersungkur

Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia terus mengorak langkah dalam misinya menamatkan kemarau kejuaraan selepas melangkah ke suku akhir Masters Orleans di Perancis, sebentar tadi.

Beraksi di Palais des Sports pemain ranking ketujuh dunia itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menyingkirkan bekas pemain nombor satu dunia dari India, K Srikanth dengan kemenangan straight set 21-11, 21-17 pada pusingan kedua.

Ini adalah kejohanan pertama buat Zii Jia musim ini selepas terpaksa berehat panjang akibat kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, Disember lalu.

Sebagai rekod, kali terakhir Zii Jia menjulang trofi adalah sembilan bulan lalu menerusi kejayaan di Terbuka Australia, Jun 2024.

Untuk perebutan tempat ke separuh akhir, pemain berusia 25 tahun itu akan berdepan pemenang antara pemain Jepun, Yushi Tanaka atau Nhat Nguyen dari Ireland, esok.

Bagaimanapun, kisah berbeza menyelubungi beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan di tangan pasangan baharu Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja di pusingan kedua, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang adalah pilihan utama kejohanan tersingkir selepas tunduk 8-21, 17-21 dalam aksi yang menyaksikan Rehan-Gloria tampil lebih dominan sejak awal perlawanan.

Lebih mengejutkan, gandingan Indonesia itu hanya berada di ranking ke-173 dunia dan ini adalah kejohanan ketiga mereka bersama selepas muncul naib juara Terbuka Jerman, Ahad lalu.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei masih berpeluang menebus kehampaan apabila bakal sekali lagi bertemu Rehan-Gloria pada pusingan pertama Seluruh England di Birmingham, minggu depan.

Bagaimanapun, satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berpeluang menebus kekalahan Tang Jie-Ee Wei apabila bakal membuat perhitungan dengan Rehan-Gloria di suku akhir, esok.

Terdahulu, Pang Ron-Su Yin mengesahkan tiket ke kelompok lapan terbaik selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi gandingan Taiwan, Ming Che Lu-Hung En Tzu 16-21, 21-13, 21-16 dalam tempoh 49 minit.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tze Yong kembali tampil di BAC

Kuala Lumpur: Demi memastikan Ng Tze Yong memperoleh persiapan lebih panjang untuk kembali ke gelanggang, pemain perseorangan lelaki negara itu tidak akan menyertai Cabaran Antarabangsa Vietnam yang dijadual bermula 25 hingga 30 Mac ini.

Sebaliknya, peminat badminton negara akan dapat menyaksikan semula kelibat Tze Yong di atas gelanggang apabila dia bakal beraksi di di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 8 hingga 13 April.

Tze Yong sebelum ini terpaksa berehat lebih setahun selepas menjalani pembedahan belakang.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen berkata, persetujuan sudah dicapai dengan Tze Yong untuk kembali ke gelanggang di BAC berbanding perancangan awal di Cabaran Antarabangsa Vietnam.

“Kami sudah mengeluarkan namanya (Tze Yong) daripada Cabaran Antarabangsa Vietnam. Jadi, dia akan bermain kejohanan pertamanya di Kejohanan Badminton Asia.

“Ini akan memberikan Tze Yong tambahan masa dua minggu untuk dia buat persiapan sebelum kembali beraksi dalam kejohanan,” kata Jonassen.

Tze Yong bakal berdepan tugas berliku untuk bangkit semula selepas kini menduduki ranking ke-1,927.

Jonassen sebelum ini mengakui kagum dengan perkembangan pemulihan pemain berusia 25 tahun itu yang menunjukkan perkembangan positif pada sesi latihan.

Tze Yong mengalami kecederaan belakang ketika beraksi di Terbuka Malaysia pada Januari tahun lalu, yang memaksanya menjalani dua pembedahan dan perlu berehat panjang.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron cedera pergelangan tangan, aksi di Seluruh England belum pasti

Kuala Lumpur: Penampilan beregu lelaki berpengalaman negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Seluruh England yang bermula 11 Mac ini, kini mencetuskan persoalan.

Ia selepas kekalahan bekas juara dunia itu di tangan gandingan muda China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun 18-21, 8-21 pada pusingan pertama Masters Orleans, semalam.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, Aaron tidak dapat beraksi pada tahap terbaik perlawanan yang berlangsung di Palais des Sports, Perancis itu kerana mengalami kecederaan di pergelangan tangannya.

Justeru itu, Herry akan menunggu laporan daripada jurulatih, Muhammad Miftakh yang berada di Perancis bagi mendapatkan situasi sebenar Aaron-Wooi Yik.

“Untuk Seluruh England, saya menunggu laporan daripada Muhammad Miftakh terlebih dahulu untuk tahu sama ada Aaron boleh beraksi atau tidak.

“Buat masa sekarang kita belum tahu lagi boleh atau tidak,” katanya ketika dihubungi.

Aaron sebelum ini dilaporkan mengalami kecederaan berulang di pergelangan tangan, namun Herry memaklumkan kecederaan itu tidak serius.

Aksi semalam adalah kejohanan pertama bagi Aaron-Wooi Yik selepas kali terakhir tampil pada Masters Indonesia, Januari lalu yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.

Pada saingan Seluruh England, Aaron-Wooi Yik yang mara ke pentas final tahun lalu, dijadual akan bertemu gandingan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard seawal pusingan pertama.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun terkulai di pusingan pertama

Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menerima kejutan apabila tersingkir seawal pusingan pertama di Masters Orleans 2025 yang berlangsung di Palais des Sports, Perancis.

Bertemu dengan pasangan beregu muda dari China, Sun Wen Jun-Zhu Yi Jun, bekas juara dunia itu tewas mengejut dengan keputusan 18-21, 8-21 dalam tempoh kurang 30 minit.

Walaupun turun dengan status pilihan kedua kejohanan, aksi Aaron-Wooi Yik tidak memenuhi jangkaan apabila mereka gagal memberikan tentangan hebat kepada lawan, sekali gus menamatkan perjuangan mereka pada pusingan pertama.

Kekalahan berkenaan pastinya menjadi tamparan hebat buat pasangan No.5 dunia ini menjelang Seluruh England yang akan berlangsung di Birmingham pada 11 hingga 16 Mac ini.

Ini juga kejohanan pertama bagi mereka selepas kali terakhir beraksi pada Masters Indonesia Januari lalu, yang menyaksikan mereka mara ke separuh akhir.

Turut mengalami nasib sama adalah satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, yang tersingkir pada pusingan pertama selepas tewas 16-21, 14-21 kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Zii Jia lepasi pusingan pertama Masters Orleans

Kuala Lumpur: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, melangkah ke pusingan kedua Masters Orleans 2025 selepas bangkit daripada tumpas di set pertama untuk mengalahkan Chi Yu Jen dari Taiwan 17-21, 21-17, 21-17 sebentar tadi.

Walaupun tewas pada set pertama, Zii Jia tidak mudah berputus asa dan berjaya bangkit dengan permainan agresif dan konsisten untuk menguasai dua set berikutnya.

Kemenangan ini menyaksikan Zii Jia akan bertemu sama ada Koo Takahashi dari Jepun atau pemain berpengalaman India, K Srikanth di pusingan kedua.

Malangnya, Cheam June Wei tidak dapat meneruskan kemaraannya selepas tewas kepada Lin Chun Yi dari Taiwan dengan keputusan 20-22, 15-21.

Beregu lelaki, Yap Roy King-Arif Junaidi, mencatatkan kemenangan hebat apabila menewaskan H Amsakarunan dan RK Rethinasabapathi dari India dengan keputusan 17-21, 21-7, 21-17.

Mereka akan berhadapan pasangan Amerika Syarikat, Chen Zi Yi-Presley Smith, pada pusingan kedua esok.

Sementara itu pasangan muda negara, Kang Khai Xing-Aaron Tai terpaksa akur dengan kekalahan kepada Liang Weikeng-Wang Chang dari China dengan keputusan 13-21, 20-22.

Gandingan Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut tidak berjaya meneruskan kemaraan mereka selepas tewas dalam perlawanan sengit menentang pasangan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teerratsakul, dengan keputusan 17-21, 21-17, 13-21.

Turut menerima nasib sama ialah Low Hang Yee-Ng Eng Cheong selepas kalah dalam perlawanan tiga set kepada Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dari Jepun, dengan keputusan 21-17, 20-22, 17-21.

Pasangan wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mencatatkan kemenangan cemerlang apabila menewaskan gandingan Turkiye, Bengisu Ercetin-Nazlican Inci, 21-19, 21-17.

Mereka akan berdepan pasangan Indonesia, Meilysa Trias Puspita Sari-Rachel Allessya Rose, pada pusingan kedua esok.

Beregu campuran no. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, juga melangkah ke pusingan kedua selepas mudah menewaskan pasangan India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh, dengan keputusan 21-10, 21-15.

Mereka akan bertemu pasangan dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, pada pusingan kedua esok.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad besbol negara idam pingat di Sukan Sea Thailand

Kuala Lumpur: Ketika Sukan Sea Thailand hanya akan berlangsung Disember depan, pasukan Besbol (B5) negara sudah melaungkan keyakinan mampu menghadiahkan pingat untuk kontinjen negara.

Pengurus pasukan, Willieam Mah berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada prestasi semasa skuad negara yang kini menduduki ranking pertama di Asia Tenggara.

Katanya, selain itu, skuad negara juga menduduki ranking keenam di Asia serta ke-17 di dunia.

Skuad negara kini akan menyertai saingan Piala Remaja Asia B5 di Taiwan bermula 11 Mac ini dengan sasaran untuk menduduki kelompok tiga terbaik bagi melayakkan diri ke Piala Dunia di Mexico serta Sukan Olimpik Remaja Tahun depan di Dakar.

“Sasaran utama kami adalah di Sukan Sea Thailand, iaitu untuk memenangi pingat. Walaupun sasaran warna pingat belum ditentukan lagi, kami yakin mampu memenangi pingat.

“Sudah pasti cabaran utama akan hadir daripada Thailand selaku tuan rumah serta Singapura,” katanya majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan negara yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P Vellapandian, hari ini.

Untuk saingan di Taiwan yang berlangsung secara liga sepusingan, skuad negara akan berentap dengan Jepun, Taiwan, Korea Selatan, Thailand, Hong Kong serta Iraq.

Majlis Sukan Negara Malaysia