Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Kerajaan lulus penubuhan Jawatankuasa Sukan Sea, Sukan Para Asean 2027

Kuala Lumpur: Kerajaan hari ini meluluskan penubuhan Jawatankuasa Pengelola Sukan Sea Ke-34 dan Sukan Para Asean Ke-15, yang dijadualkan berlangsung di tanah air pada 2027.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menerusi satu kenyataan, memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut meluluskan penubuhan Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Malaysia (MASOC) 2027 bagi pelaksanaan penganjuran dua temasya sukan utama serantau itu.

“Jawatankuasa Pengelola akan dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan dibantu oleh 16 Jawatankuasa Kecil yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan badan sukan.

“Ini bertujuan memastikan penglibatan menyeluruh semua pemegang taruh sukan negara.

“Sekretariat MASOC yang berperanan melaksanakan keputusan dan hala tuju yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengelola, pula akan diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi, yang akan dilantik dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah Sukan Sea apabila kali terakhir temasya dwitahunan itu berlangsung di negara ini ialah pada 2017.

Sebagai rekod, edisi 2017 menyaksikan Malaysia menamatkan kempen sebagai juara keseluruhan selepas memenangi 145 pingat emas, 92 pingat perak dan 86 pingat gangsa.

Termasuk edisi 2027, Malaysia menjadi tuan rumah sebanyak tujuh kali iaitu pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Bagi edisi ke-33 yang akan berlangsung pada Disember ini, Thailand akan menjadi tuan rumah dengan tiga lokasi dipilih sebagai venue pertandingan iaitu Bangkok, Chonburi dan Songkhla.