Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh akan memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari 8 hingga 13 April ini.
Keputusan perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia tidak mengambil bahagian di Ningbao menyaksikan Justin yang berada dalam senarai pemain simpanan, peroleh peluang untuk menggantikan tempat Zii Jia.
Mengakui terkejut dengan peluang diperolehinya itu, Justin yang menduduki ranking ke-50 dunia ketika ini berkata, dia perlu segera memperbaiki prestasinya di bawah bimbingan ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen menjelang kejohanan itu.
“Memang ada banyak perkara yang perlu saya tingkatkan prestasi. Saya juga kena berbincang dengan jurulatih (Jonassen) sebab dia mengajar corak permainan berbeza, jadi saya perlu segera ikut cara dia,” katanya.
Mengulas lanjut, Justin berkata, ketika ini Jonassen menekankan aspek cara berfikir yang lebih baik ketika beraksi selain turut mementingkan aspek taktikal.
“Beliau seorang yang sangat mementingkan aspek taktikal. Saya rasa masih ada masa lagi untuk berbincang dan membina persefahaman antara kami,” katanya.
Ditanya adakah dia mengharapkan untuk turut terpilih beraksi di Piala Sudirman yang akan berlangsung dari 27 April sehingga 4 Mei depan, Justin belum memikirkan perkara itu lagi.
“Fokus saya sekarang adalah untuk persediaan ke BAC. Untuk Piala Sudirman terpulang kepada BAM memilih pemain. Kalau saya terpilih, sudah pasti saya akan berikan yang terbaik dan jika sebaliknya, saya perlu tunggu (peluang beraksi) kejohanan seterusnya,” katanya.
Justin melalui kempen yang mengecewakan di Eropah apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Switzerland di tangan pemain Jepun, Yushi Tanaka 7-21, 13-21.
Sebelum itu, dia turut terkandas di pusingan kedua Terbuka Jerman dan gagal melepasi pusingan kelayakan Masters Orleans di Perancis.