Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nur Hazlinda tekad bantu Malaysian Tigress

SEREMBAN: Penjaga gol utama pasukan hoki wanita kebangsaan, Nur Hazlinda Zainal Abidin berhasrat membantu pasukan negara melakar pencapaian terbaik pada penyertaan sulungnya di Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Wanita 2025, yang akan berlangsung di Poland, Jun depan.

Pemain berusia 22 tahun berasal dari Tampin Negeri Sembilan ini mahu memastikan penyertaannya dalam kejohanan berkenaan kelak, dapat memberi impak positif kepada kekuatan pasukan kebangsaan walaupun belum pasti sama ada akan diturunkan atau sebaliknya.

“Berbanding pemain lain, ia adalah penyertaan pertama saya dalam kejohanan berprestij itu dan saya mahu memberikan persembahan terbaik sekiranya diberikan amanah menjaga gawang pasukan kebangsaan.

“Saya sedar perlu bekerja keras meningkatkan tahap prestasi serta disiplin dalam permainan jika mahu memastikan tempat dalam skuad kebangsaan.

“Memang ia satu cabaran, tetapi saya sedang memberikan fokus ke arah itu dan mahu memastikan amanah yang digalas nanti dapat dilakukan dengan terbaik yang mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengalaman berharga Nur Hazlinda dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk Sukan Asia di Hangzhou China 2022, Sukan SEA Kemboja 2023, Piala Remaja Wanita Asia 2023 di Jepun dan Piala Remaja Wanita Asia 2024 di Muscat Oman, hampir pasti menjadi pilihan ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim.

Menurutnya, fokusnya kini adalah meningkatkan tahap prestasi terbaiknya sebagai persiapan kerana cabaran di kejohanan antarabangsa terbabit adalah sengit.

“Setiap pemain perlu berada pada tahap terbaik bagi memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan dan soal terpilih untuk beraksi atau sebaliknya adalah terletak kepada jurulatih,” katanya yang akan bersaing dengan dua lagi penjaga gol iaitu, Siti Zalia Nasir dan Fitrinur Amiera Ramlee.