KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa kriteria pemilihan atlet yang akan disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) berkemungkinan mengalami perubahan bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Menurut Hannah, perubahan berkenaan akan dibincangkan dalam Jawatankuasa RTG bagi memastikan strategi lebih efektif dalam memburu pingat emas pertama negara di temasya terbesar dunia itu.
“Jawatankuasa akan bincang dan kita akan dapatkan maklum balas mereka kerana berbanding dengan RTG semasa kita tubuhkan tahun 2022, kita hanya ada dua tahun sebelum Olimpik. Tetapi sekarang kita ada empat tahun sebelum LA 2028.
“Jadi saya rasa kriteria itu mungkin akan ada perbezaan sedikit, mungkin ada ‘mid-term review’. Dan dua tahun sebelum LA 2028, kita kena tengok lagi sama ada top 3 ke ataupun top 5 ke ataupun top 10,” katanya.
Atlet yang disenaraikan sebelum ini dipilih berdasarkan dua kriteria utama yang ditetapkan jawatankuasa RTG iaitu pemenang pingat temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik dunia.
Malah, ada juga kriteria tambahan yang mana atlet Program Podium yang menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa turut dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam RTG.
RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi bagi memenangi pingat emas buat Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merealisasikan impian memenangi pingat di temasya terbesar dunia itu termasuklah sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain disediakan ISN.
Atlet juga diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan.