KUALA LUMPUR: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan diangkat sebagai pelumba ASEAN terbaik bagi perlumbaan Peringkat 1 Jelajah Thailand, hari ini.
Dalam perlumbaan sejauh 121.42 kilometer (km) di sekitar Aranyaprathet itu, Abdul Rahman berjaya menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan catatan dua jam 27 minit dan 21 saat (s) di belakang pemenang, Simon Pellaud (Li Ning Star).
Kejayaan nyata memberi tambahan semangat buat pemenang Grand Prix (GP) Antalya pada Februari lalu itu untuk mengharungi Peringkat 2 dari Taman Bersejarah Sadek Kok Thom ke Kok Lan di daerah Ta Phraya sejauh 148.5km esok.
“Alhamdulillah, hari ini Achik boleh dapat pelumba ASEAN terbaik bagi Peringkat 1 ini. Dalam perlumbaan hari ini, memang laju dan semua pelumba mempamerkan corak agresif manakala cuaca pun agak panas sedikit.
“Apapun, InsyaAllah untuk Peringkat 2 esok, saya akan buat yang terbaik lagi,” kata Abdul Rahman atau lebih selesa disapa Acik dalam satu hantaran video oleh pasukan kepada media, semalam.
Dalam pada itu, TSG turut memaklumkan, Harrif Saleh terjatuh pada selekoh terakhir baki perlumbaan namun menyatakan tiada kecederaan serius dihadapi pelumba berpengalaman mereka itu.
Jelajah Thailand 2025 membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan menyediakan laluan keseluruhan sejauh 807.4km.