KUALA LUMPUR: Atlet boling negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman meletakkan sasaran lebih gemilang di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.
Siti Safiyah yang pernah muncul selaku pemain wanita pertama menjuarai Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) pada 2017 berkata, dia ada sasaran untuk memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) dan AS BC Queens tahun ini.
“Saya pernah menjuarai PWBA sebelum ini dan saya juga menjadi pemain wanita Malaysia pertama menjuarai PWBA, sama seperti Tun Hakim (Tun Hasnul Azam).
“Jadi tahun ini saya nak sasarkan kejohanan utama seperti Terbuka AS dan AS BC Queens kerana ia adalah kejohanan besar di sana (AS).
“Dalam pada itu, saya juga turut menyasarkan untuk cuba meraih satu lagi gelaran (di PWBA) kerana sebelum ini saya pernah memenanginya,” katanya.
Minggu lalu, Tun Hakim melakar sejarah apabila menjadi pemain Malaysia pertama memenangi gelaran di Jelajah Persatuan Pemain-pemain Boling Profesional (PBA).
Pemain 26 tahun itu menjuarai Kejuaraan Chameleon di Reno, Nevada dengan menewaskan Kevin McCune dari Amerika Syarikat 269-227 pada final di National Bowling Stadium sekali gus memenangi AS$20,000 (RM89,000) sebagai juara.
Sebagai rekod, awal tahun ini, gandingan Siti Safiyah bersama Natasha Roslan, Sin Li Jane, dan Gillian Lim berjaya menjelmakan kilauan pingat perak di Kejohanan Boling Piala Dunia Persatuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.