Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad takraw double kena ‘libas’

Kuala Lumpur: Hasrat skuad sepak takraw double Malaysia melangkah ke pentas akhir tidak kesampaian apabila tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2025 di Bihar, India hari ini.

Thailand membariskan pemain baharu, Phutawan Sopa, Rachan Viphan dan Thawisak Thongsai mengejutkan wakil negara yang diwakili Shahril Aiman, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi di set pertama apabila menang 15-9.

Namun, anak buah Ahmad Jais Baharun bangkit di set kedua apabila menampilkan permainan lebih meyakinkan dan kurang melakukan kesilapan untuk menang 17-15 dan membawa perlawanan ke set penentuan.

Meskipun Thailand menurunkan pemain baharu tetapi mereka berjaya mengawal gelanggang dan bola pertama dengan sangat baik sementara Malaysia juga cuba memberi tentangan sengit bagi menjarakkan kedudukan, tetapi tidak berjaya sehingga kedudukan terikat 14-14.

Ketika Thailand mendahului 16-15 dan Phutawan bijak memerangkap Aidil Aiman melalui servis laju hingga gagal mengapungkan bola pertama dengan baik sekali gus memastikan skuad Gajah Putih ke pentas akhir dengan kemenangan 17-15 sementara Malaysia perlu berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

Kemenangan itu membolehkan Thailand membalas dendam atas kekalahan di pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang lalu.