Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Skuad pecut negara ubah waktu latihan

Kuala Lumpur: Jurulatih pecut negara, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah mengakui terdapat perubahan yang harus dilakukan dari segi corak latihan yang diterapkan pada bulan puasa bagi memastikan setiap atlet berada di tahap terbaik.

Jelasnya, beliau perlu merangka perancangan yang teliti dan sesuai dengan atlet berkenaan agar mereka yang berlatih tidak terdedah kepada kecederaan serius.

Katanya, sesi latihan pada waktu malam sememangnya sangat berlainan dan ia mampu memberi kesan kepada pelari sekiranya mereka tidak mengambil serius dalam semua aspek.

“Cabaran pada saya adalah waktu rehat atlet kerana kita perlu buat sedikit perubahan. Ini sebab kita tidak berlatih di waktu siang dan kita berlatih di waktu malam (bulan Ramadan).

“Jadi, kadar pemulihan itu rasanya agak singkat kerana latihan tamat dalam jam 11 atau 12 malam dan atlet akan bersiap-siap untuk tidur sebelum bangun sahur. Maka, berkemungkinan mendapat kecederaan itu sangat mudah terjadi kerana kekurangan rehat yang cukup.

“Pada saya, sesi pemulihan pada waktu siang tidak sama dengan waktu malam dan saya berharap selepas bulan Ramadan ini, kita akan balik semula ke proses yang normal dan melakukan yang terbaik,” katanya dalam laman sosial Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Selain itu, bekas jurulatih pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi percaya atlet negara mampu berada sebaris dengan atlet terbaik di peringkat tertinggi.

“Insya-Allah kalau kena dengan perancangan yang betul dan kerjasama dengan semua pihak, kita akan dapat atlet yang berpotensi untuk berada di pentas dunia. Itu adalah keyakinan yang ada pada saya.

“Tapi untuk capai itu, kita perlu melihat dan atlet itu perlu ada keyakinan untuk capai serta atlet perlu percaya bahawa mereka juga boleh dapatkan apa yang saya sasarkan,” katanya.