Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Program terbaru PSM mampu lonjak prestasi skuad takraw

Kuala Lumpur: Apit kiri berpengalaman negara, Farhan Adam yakin perubahan dilakukan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dengan mewujudkan Pembangunan Sepaktakraw Negara (NSTDP) dan Pusat Akademi Sepaktakraw Malaysia di Kampung Baru, bakal membawa sinar baharu buat sukan itu.

Jelas Farhan, dengan ada program seperti itu, sudah pasti ia akan membantu sukan sepak takraw untuk meningkatkan prestasi skuad kebangsaan dalam setiap kejohanan disertai selepas ini.

“Saya lihat, ia salah satu kemajuan untuk sepak takraw. Di bawah kepimpinan PSM sekarang di bawah Datuk Sumali (Reduan), ia satu perubahan besar.

“Ia mungkin berpunca daripada kemenangan kita di Piala Dunia (tahun lalu) dan memperkuatkan lagi sepak takraw untuk diperkembangkan,” katanya.

Tambahnya, akademi diwujudkan PSM itu mampu membawa perubahan buat generasi muda untuk mula mendekati sukan berkenaan dan itu akan membantu mewujudkan lebih ramai bakat di akar umbi.

“Pada pandangan saya, ia akan membuatkan sepak takraw berkembang dengan adanya akademi ini dan pembangunan di bawah pengurusan (PSM) baharu ini.

“Saya lihat sukan sepak takraw akan ada lebih banyak saingan dalam negara dan ramai pemain akan bermain sepak takraw,” katanya.

Sebelum ini, Sumali pernah menyatakan hasrat iaitu ingin mewujudkan pusat latihan mempunyai teknologi terkini dan canggih, sekali gus membantu perkembangan pemain menjadi lebih baik.

Katanya, jika perkara itu dapat diwujudkan, sudah pasti ia akan membawa satu sinar baharu dan boleh digunakan oleh pelbagai pihak, sama ada persatuan di dalam negara atau pasukan dari luar negara.

Katanya, jika perkara itu dapat diwujudkan, sudah pasti ia akan membawa satu sinar baharu dan boleh digunakan oleh pelbagai pihak, sama ada persatuan di dalam negara atau pasukan dari luar negara.

Malah, SJRM juga kini dikenali sebagai Pusat Akademi Sepaktakraw Malaysia dan NSTDP dijangka menjadi tonggak utama dalam usaha melahirkan generasi baharu tekong, apit kiri dan kanan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.