Kuala Lumpur: Bekas pemain badminton negara, Chan Peng Soon menyifatkan apa yang dilalui beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei susulan prestasi hambar mereka selepas tersingkir awal pada dua kejohanan Eropah sebelum ini adalah perkara biasa dialami mana-mana pasangan.
Peng Soon yang memenangi pingat perak acara beregu campuran di Sukan Olimpik Rio 2016 bersama Goh Liu Ying berkata, dia bersama bekas gandingannya itu sering berselisih faham sebelum ini.
Namun, katanya, mereka melihat situasi itu sebagai salah satu cara untuk mematangkan pemikiran mereka di atas gelanggang.
“Saya dan Liu Ying selalu gaduh dahulu, tetapi ada bagusnya kerana kami akan cuba cari penyelesaian untuk mara.
“Memang perselisihan faham dengan pasangan beregu adalah perkara biasa, prestasi ada naik turunnya,” katanya.
Spekulasi kini bertiup kencang sama ada terdapat ‘persengketaan’ antara pasangan keempat dunia itu apabila Ee Wei memadam semua gambar bersama Tang Jie di laman Instagram, baru-baru ini selepas mereka tersungkur di pusingan pertama Seluruh England 2025.
Tang Jie-Ee Wei tunduk kepada pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-18, 20-22, 11-21, dalam kejohanan tertua badminton dunia yang berlangsung di Birmingham.
Sementara itu, Peng Soon berkata, beregu campuran sedang meningkat naik, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin perlu memiliki karakter berani dan bermain lebih garang seandainya mahu melangkah lebih jauh pada masa depan.
Katanya, pasangan ke-14 dunia itu perlu mencontohi karakter dimiliki Tang Jie-Ee Wei sehingga muncul antara pasangan terbaik dunia ketika ini.
“Mereka (Pang Ron-Su Yin) masih perlu kerja keras dan lebih matang, mereka mungkin bukan gandingan yang baik di Malaysia pada masa ini, tapi di masa depan kita tidak tahu.
“Jangan terlalu awal putus asa kerana masih ada peluang. Mereka perlu konsisten dan lebih berani, sekali gus dapat bina keyakinan diri dalam gelanggang, itu sangat penting,” katanya kepada Bernama.
Pang Ron-Su Yin mengalami musim yang kurang menentu setakat ini apabila hanya mara ke suku akhir sebanyak dua kali daripada tujuh kejohanan disertai mereka.
Pencapaian terbaik mereka sejak digandingkan pada 2023 adalah muncul naib juara Masters China 2024 selepas tumpas kepada gandingan tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 23-21, 23-25, 16-21.