Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat menimbang semula sokongan dana yang disalurkan kepada skuad lebuh raya negara.
Ia kerana peruntukan dipersetujui iaitu RM450,000 adalah tidak mencukupi untuk membuat persiapan ke temasya Sukan Sea yang turut membabitkan skuad basikal bukit dan BMX.
Naib Presiden yang juga Pengerusi Lebuh Raya PKBM, Nor Azman Abu Samah berkata, beliau akan menetapkan pertemuan semula dengan MSN untuk membincang kembali masalah berkenaan.
Tegas Azman, beliau tidak mahu insiden 2019 di mana pelumba lebuh raya negara pulang tangan kosong kembali berulang di Thailand.
“Saya akan jumpa kembali dengan MSN untuk berbincang kembali peruntukan berkenaan kerana ia memang tidak mencukupi.
“Skuad lebuh raya, basikal bukit dan BMX sudah menunjukkan prestasi terbaik dan pada temasya di Kemboja, kita sertai empat acara dan keempat-empat acara berkenaan kita mendapat podium.
“PKBM memohon peruntukan RM1.5 juta untuk ketiga-tiga acara berkenaan dan kami hanya dapat RM450,000. Ia memang tidak mencukupi terutama kami turut perlu basikal baharu untuk kegunaan bagi acara ujian masa,” katanya.
Azman menegaskan, jika peruntukan lebih besar tidak diberikan, kemungkinan besar pasukan negara akan menghadapi masalah besar dalam meraih kejayaan di Sukan Sea 2025 nanti.
Untuk rekod sebagai persediaan skuad lebuh raya, barisan pelumba negara akan turut dibarisi pelumba pasukan benua seperti Terengganu Cycling Team dan juga MPC Cycling Team yang mana mereka akan diberi token RM100,000 bagi pelumba yang berada di luar program.
Dengan jumlah dana yang ada itu nyata ia tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan sehingga Sukan Sea Thailand nanti.