Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MTBC sasar dua emas

Kuala Lumpur: Prestasi semasa barisan pemain boling negara menyaksikan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) meletakkan sasaran untuk membawa pulang dua emas pada temasya Sukan Sea Thailand Disember ini.

Jurulatih boling negara, Ben Heng Boon Hian berkata, beliau yakin dengan kemampuan pemain negara terutama selepas Tun Hakim Tun Hasnul Azam mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia pertama memenangi gelaran Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA).

Justeru, biarpun terpaksa membahagikan penyertaan kepada dua pasukan berikutan terdapat beberapa atlet yang akan turut beraksi di Kejohanan Dunia, ia bukan satu masalah untuk skuad negara merealisasikan sasaran ditetapkan di Sukan Sea nanti.

Malah dengan kekuatan dimiliki pemain negara, Boon Hian yakin Malaysia mampu untuk membawa pulang lebih daripada dua emas.

“Untuk Sukan Sea tahun ini, kita akan cuba hantar pasukan paling kuat kerana tarikh Kejohanan Dunia dan Sukan Sea itu dekat.

“Kita masih ada ramai pemain boleh diharapkan jadi kita memang boleh sasar dua emas ke atas, itu tiada masalah,” katanya.

Boon Hian berkata, beliau turut merancang untuk menyenaraikan barisan pemain remaja negara ke temasya dwi tahunan itu sebagai persediaan apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada 2027 nanti.

“Memang dalam perancangan untuk kita menghantar skuad junior ke Sukan Sea sebagai persediaan bila Malaysia jadi tuan rumah nanti.

“Kita ada ramai pemain berbakat seperti Ethan (Damien Goh) yang boleh bermain kedua-dua tangan, Wan Zarif Ikram dan beberapa nama lain lagi,” katanya.

Untuk rekod, boling tidak dipertandingkan di Sukan Sea Kemboja dua tahun lalu manakala ketika di Sukan Sea Hanoi 2021, skuad boling membawa pulang dua perak dan satu gangsa.

Perak dimenangi dalam acara empat sepasukan lelaki dan wanita dan gangsa diraih dalam acara double.