Kuala Lumpur: Cabaran beraksi di bulan Ramadan bakal meniup semangat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh menjelang perlumbaan ketiganya musim ini iaitu di Jelajah Thailand yang berlangsung dari 24 hingga 29 Mac ini.
Harrif yang sudah berusia 37 tahun mengakui masih berkobar-kobar untuk meraih kejayaan dalam perlumbaan berstatus 2.1 itu walaupun sedar ia bukannya mudah ditambah beraksi di bulan puasa.
“Saya sudah dua minggu melakukan persiapan rapi apabila berlatih bersama-sama dengan skuad kebangsaan di Nilai.
“Walaupun kami ‘menumpang’ berlatih dengan mereka, saya yakin mampu memupuk persefahaman bersama tiga lagi pelumba import di Jelajah Thailand nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.
Selain Harrif, dua lagi pelumba tempatan bakal menggalas cabaran di perlumbaan berkenaan ialah Aiman Rosli dan Wan Abdul Rahman Hamdan, manakala tiga pelumba import ialah Adne Willemjan Van Enggel, Stefan Jaco De Bod dan Anatolii Budiak.
Pelumba yang terkenal dengan nama gelaran ‘Mamat’ itu mengakui akan memburu kejayaan podium dalam lima peringkat laluan landai dan mengesahkan sudah mempunyai keyakinan bersaing bersama pakar pecut dari pasukan lain.
“Saya berasa yakin selepas melihat prestasi saya yang bertambah baik berbanding sebelum ini.
“Saya sedia untuk memberi impak dalam perlumbaan itu sambil dibantu rakan sepasukan yang lain.
“Lagipun laluan ini sudah biasa buat saya, tuan rumah hanya mengubahnya secara bertentangan, tetapi menggunakan jalan raya sama,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.
Tambahnya, walaupun sudah pernah empat kali menjuarai peringkat di perlumbaan berkenaan, dia harus berhati-hati dengan kehadiran pelumba dari pasukan seperti JCL Team UKYO, St George Continental Cycling Team dan Burgos Burpellet BH.
“Walaupun sering bertukar-tukar pelumba setiap musim, mereka sentiasa membariskan pelumba terbaik terutama dalam penamat beramai-ramai,” katanya yang akan berlepas ke Thailand bersama pasukan Sabtu ini.