Menurut Alia Husna, antara kejohanan terdekat akan disertainya ialah Kejohanan Menembak Kebangsaan Trofi Tun Hanif 2025 di Lapang Sasar Subang, dari 15 hingga 20 April depan.
“Selepas itu, saya akan menyertai Kejohanan Menembak Dunia 2025 di Munich, Jerman dari 7 hingga 15 Jun depan dan seterusnya beberapa kejohanan lain sehingga menjelang Sukan Sea di Thailand.
“Penyertaan di kejohanan penting untuk saya mendapatkan prestasi terbaik sekali gus lebih bersedia berhadapan cabaran di Sukan Sea nanti.
“Saya perlu menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk mendapatkan rentak terbaik kerana sasaran saya jika terpilih ke Sukan Sea adalah mendapatkan pingat buat negara,” kata Alia Husna, semalam.
Penembak berasal dari Negeri Sembilan itu menjelaskan, ketika ini prestasinya menunjukkan graf kemajuan yang positif hasil latihan di Bukit Jalil, namun sedar masih banyak perlu dilakukan bagi mencapai tahap prestasi yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.
“Jika melihat kepada pencapaian dalam beberapa kejohanan tempatan dan luar yang disertai setakat ini seperti Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Taiwan, Januari lalu, ia masih dalam kawalan yang disasarkan oleh pihak jurulatih.
“Namun, saya dapat rasa perlu tingkatkan lagi prestasi untuk mencapai kemampuan bersaing di pentas antarabangsa khususnya di Sukan Sea,” kata penuntut Ijazah Sains Taman dan Rekreasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.
Alia Husna berharap dapat mendominasi dan seterusnya meraih pingat emas pada kejohanan kebangsaan di Subang menerusi acara 50 meter rifle tiga posisi dan 10m air rifle individu.
“Saya juga mahu melakukan aksi terbaik pada penyertaan kali kedua di kejohanan dunia, Jun nanti,” katanya.
Untuk rekod, Alia Husna menamatkan saingan acara 10m air rifle di kedudukan ke-39 dari 62 peserta selepas mengumpul 619.9 mata pada temasya Sukan Asia Hangzhou, dua tahun lalu.
Manakala di Sukan Sea Hanoi, Vietnam pula, dia menduduki tempat keempat dalam acara 50 meter rifle 3 posisi di pentas final, namun gagal meraih sebarang pingat.