Majlis Sukan Negara Malaysia

Archives March 20, 2025

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Jefri ketua pengarah baharu MSN

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan pelantikan Jefri Ngadirin sebagai ketua pengarah baharu bagi menggantikan Abdul Rashid Yaakub yang akan tamat kontrak pada 3 April ini.

Pelantikan Jefri sebagai Ketua Pengarah MSN ke-10 berkuat kuasa pada 4 April 2025 itu diumumkan ketika Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Bukit Jalil, hari ini.

Jefri, 52, memulakan kerjaya di MSN sebagai pegawai di Bahagian Pembangunan pada 1993 dan kemudiannya menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan di University of Miami, Florida, Amerika Syarikat sebelum kembali meneruskan khidmat di MSN pada 1999.

“Antara tanggungjawab dipikulnya dalam MSN ialah Ketua Unit Sukan Teras, Pengarah Cawangan Pelapis dan Pengarah Bahagian Atlet sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) pada 8 Januari 2024,” menurut kenyataan MSN hari ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Malaysia mudah libas Perancis

Kuala Lumpur: Malaysia memulakan aksi pertama Kumpulan B acara kuadran Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2025 dengan langkah kanan selepas menewaskan Perancis 2-0 di Bihar, India hari ini.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Fetri Mohd Azwadi tidak berdepan masalah untuk memenangi set pertama 15-6 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Patliputra.

Pada set kedua, Malaysia membuat dua pertukaran dengan kemasukan Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin sebelum menundukkan gandingan Perancis 15-7.

Skuad negara dijadual beraksi pada perlawanan kedua Kumpulan B menentang Myanmar yang turut diadakan petang ini.

Sebelum ini, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) meletakkan sasaran realistik buat acara kuadran iaitu ke pentas akhir.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MTBC sasar dua emas

Kuala Lumpur: Prestasi semasa barisan pemain boling negara menyaksikan Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) meletakkan sasaran untuk membawa pulang dua emas pada temasya Sukan Sea Thailand Disember ini.

Jurulatih boling negara, Ben Heng Boon Hian berkata, beliau yakin dengan kemampuan pemain negara terutama selepas Tun Hakim Tun Hasnul Azam mencipta sejarah menjadi pemain Malaysia pertama memenangi gelaran Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA).

Justeru, biarpun terpaksa membahagikan penyertaan kepada dua pasukan berikutan terdapat beberapa atlet yang akan turut beraksi di Kejohanan Dunia, ia bukan satu masalah untuk skuad negara merealisasikan sasaran ditetapkan di Sukan Sea nanti.

Malah dengan kekuatan dimiliki pemain negara, Boon Hian yakin Malaysia mampu untuk membawa pulang lebih daripada dua emas.

“Untuk Sukan Sea tahun ini, kita akan cuba hantar pasukan paling kuat kerana tarikh Kejohanan Dunia dan Sukan Sea itu dekat.

“Kita masih ada ramai pemain boleh diharapkan jadi kita memang boleh sasar dua emas ke atas, itu tiada masalah,” katanya.

Boon Hian berkata, beliau turut merancang untuk menyenaraikan barisan pemain remaja negara ke temasya dwi tahunan itu sebagai persediaan apabila Malaysia menjadi tuan rumah pada 2027 nanti.

“Memang dalam perancangan untuk kita menghantar skuad junior ke Sukan Sea sebagai persediaan bila Malaysia jadi tuan rumah nanti.

“Kita ada ramai pemain berbakat seperti Ethan (Damien Goh) yang boleh bermain kedua-dua tangan, Wan Zarif Ikram dan beberapa nama lain lagi,” katanya.

Untuk rekod, boling tidak dipertandingkan di Sukan Sea Kemboja dua tahun lalu manakala ketika di Sukan Sea Hanoi 2021, skuad boling membawa pulang dua perak dan satu gangsa.

Perak dimenangi dalam acara empat sepasukan lelaki dan wanita dan gangsa diraih dalam acara double.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
RM450,000 tak cukup – PKBM

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat menimbang semula sokongan dana yang disalurkan kepada skuad lebuh raya negara.

Ia kerana peruntukan dipersetujui iaitu RM450,000 adalah tidak mencukupi untuk membuat persiapan ke temasya Sukan Sea yang turut membabitkan skuad basikal bukit dan BMX.

Naib Presiden yang juga Pengerusi Lebuh Raya PKBM, Nor Azman Abu Samah berkata, beliau akan menetapkan pertemuan semula dengan MSN untuk membincang kembali masalah berkenaan.

Tegas Azman, beliau tidak mahu insiden 2019 di mana pelumba lebuh raya negara pulang tangan kosong kembali berulang di Thailand.

“Saya akan jumpa kembali dengan MSN untuk berbincang kembali peruntukan berkenaan kerana ia memang tidak mencukupi.

“Skuad lebuh raya, basikal bukit dan BMX sudah menunjukkan prestasi terbaik dan pada temasya di Kemboja, kita sertai empat acara dan keempat-empat acara berkenaan kita mendapat podium.

“PKBM memohon peruntukan RM1.5 juta untuk ketiga-tiga acara berkenaan dan kami hanya dapat RM450,000. Ia memang tidak mencukupi terutama kami turut perlu basikal baharu untuk kegunaan bagi acara ujian masa,” katanya.

Azman menegaskan, jika peruntukan lebih besar tidak diberikan, kemungkinan besar pasukan negara akan menghadapi masalah besar dalam meraih kejayaan di Sukan Sea 2025 nanti.

Untuk rekod sebagai persediaan skuad lebuh raya, barisan pelumba negara akan turut dibarisi pelumba pasukan benua seperti Terengganu Cycling Team dan juga MPC Cycling Team yang mana mereka akan diberi token RM100,000 bagi pelumba yang berada di luar program.

Dengan jumlah dana yang ada itu nyata ia tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan sehingga Sukan Sea Thailand nanti.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Alia sasar tembakan terbaik

Menurut Alia Husna, antara kejohanan terdekat akan disertainya ialah Kejohanan Menembak Kebangsaan Trofi Tun Hanif 2025 di Lapang Sasar Subang, dari 15 hingga 20 April depan.

“Selepas itu, saya akan menyertai Kejohanan Menembak Dunia 2025 di Munich, Jerman dari 7 hingga 15 Jun depan dan seterusnya beberapa kejohanan lain sehingga menjelang Sukan Sea di Thailand.

“Penyertaan di kejohanan penting untuk saya mendapatkan prestasi terbaik sekali gus lebih bersedia berhadapan cabaran di Sukan Sea nanti.

“Saya perlu menggunakan peluang yang ada sebaik mungkin untuk mendapatkan rentak terbaik kerana sasaran saya jika terpilih ke Sukan Sea adalah mendapatkan pingat buat negara,” kata Alia Husna, semalam.

Penembak berasal dari Negeri Sembilan itu menjelaskan, ketika ini prestasinya menunjukkan graf kemajuan yang positif hasil latihan di Bukit Jalil, namun sedar masih banyak perlu dilakukan bagi mencapai tahap prestasi yang mampu bersaing di pentas antarabangsa.

“Jika melihat kepada pencapaian dalam beberapa kejohanan tempatan dan luar yang disertai setakat ini seperti Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) di Taiwan, Januari lalu, ia masih dalam kawalan yang disasarkan oleh pihak jurulatih.

“Namun, saya dapat rasa perlu tingkatkan lagi prestasi untuk mencapai kemampuan bersaing di pentas antarabangsa khususnya di Sukan Sea,” kata penuntut Ijazah Sains Taman dan Rekreasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Alia Husna berharap dapat mendominasi dan seterusnya meraih pingat emas pada kejohanan kebangsaan di Subang menerusi acara 50 meter rifle tiga posisi dan 10m air rifle individu.

“Saya juga mahu melakukan aksi terbaik pada penyertaan kali kedua di kejohanan dunia, Jun nanti,” katanya.

Untuk rekod, Alia Husna menamatkan saingan acara 10m air rifle di kedudukan ke-39 dari 62 peserta selepas mengumpul 619.9 mata pada temasya Sukan Asia Hangzhou, dua tahun lalu.

Manakala di Sukan Sea Hanoi, Vietnam pula, dia menduduki tempat keempat dalam acara 50 meter rifle 3 posisi di pentas final, namun gagal meraih sebarang pingat.

Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Cabaran berlumba ketika Ramadan suntik semangat Harrif

Kuala Lumpur: Cabaran beraksi di bulan Ramadan bakal meniup semangat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Saleh menjelang perlumbaan ketiganya musim ini iaitu di Jelajah Thailand yang berlangsung dari 24 hingga 29 Mac ini.

Harrif yang sudah berusia 37 tahun mengakui masih berkobar-kobar untuk meraih kejayaan dalam perlumbaan berstatus 2.1 itu walaupun sedar ia bukannya mudah ditambah beraksi di bulan puasa.

“Saya sudah dua minggu melakukan persiapan rapi apabila berlatih bersama-sama dengan skuad kebangsaan di Nilai.

“Walaupun kami ‘menumpang’ berlatih dengan mereka, saya yakin mampu memupuk persefahaman bersama tiga lagi pelumba import di Jelajah Thailand nanti,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Selain Harrif, dua lagi pelumba tempatan bakal menggalas cabaran di perlumbaan berkenaan ialah Aiman Rosli dan Wan Abdul Rahman Hamdan, manakala tiga pelumba import ialah Adne Willemjan Van Enggel, Stefan Jaco De Bod dan Anatolii Budiak.

Pelumba yang terkenal dengan nama gelaran ‘Mamat’ itu mengakui akan memburu kejayaan podium dalam lima peringkat laluan landai dan mengesahkan sudah mempunyai keyakinan bersaing bersama pakar pecut dari pasukan lain.

“Saya berasa yakin selepas melihat prestasi saya yang bertambah baik berbanding sebelum ini.

“Saya sedia untuk memberi impak dalam perlumbaan itu sambil dibantu rakan sepasukan yang lain.

“Lagipun laluan ini sudah biasa buat saya, tuan rumah hanya mengubahnya secara bertentangan, tetapi menggunakan jalan raya sama,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Tambahnya, walaupun sudah pernah empat kali menjuarai peringkat di perlumbaan berkenaan, dia harus berhati-hati dengan kehadiran pelumba dari pasukan seperti JCL Team UKYO, St George Continental Cycling Team dan Burgos Burpellet BH.

“Walaupun sering bertukar-tukar pelumba setiap musim, mereka sentiasa membariskan pelumba terbaik terutama dalam penamat beramai-ramai,” katanya yang akan berlepas ke Thailand bersama pasukan Sabtu ini.

Majlis Sukan Negara Malaysia