Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tun Hakim anggap gelaran Jelajah PBA umpama mimpi jadi nyata

Kuala Lumpur: Pemain boling negara, Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran dalam Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) mengakui kemenangan itu umpama mimpi menjadi nyata.

Tun Hakim mengakui kemenangan itu sesuatu yang di luar jangkaan terutama selepas menewaskan barisan pemain handalan dunia yang lain.

“Ia satu yang luar biasa dapat dan jujurnya saya tidak menjangkakan dapat melakukannya. Ia umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dari segi peralatan dan keputusan yang saya buat.

“Menjadi pemain lelaki Malaysia pertama yang memenangi gelaran PBA adalah sesuatu yang tidak dijangka terutama dengan persaingan diterima daripada pemain boling profesional seluruh dunia di sini,” katanya.

Tegas Tun Hakim, persaingan sengit diterima itu menjadikan dirinya lebih berusaha keras untuk menjadi lebih baik lagi selepas ini dengan sasaran seterusnya adalah Terbuka Malaysia selain Kejohanan Dunia dan Sukan Sea Thailand.

Tun Hakim dinobatkan sebagai juara Chameleon Championship di Reno, Nevada selepas mempamerkan aksi mengagumkan dengan menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Kevin McCune, 269-227 dalam perlawanan akhir di National Bowling Stadium.

Di pusingan 16 terbaik, dia menewaskan pemain AS, David Krol 3-1 (237-226, 216-247, 268-267, 279-187) sebelum mengatasi juara 12 kali Jelajah PBA dari Sweden, Jesper Svensson, dengan kemenangan bersih 3-0 (245-214, 245-228, 254-215) untuk menempah tempat dalam final stepladder lima terbaik.

Empat finalis yang turut beraksi di pentas akhir adalah McCune, EJ Tackett, Andrew Anderson dan Mitch Hupe yang bertarung sesama sendiri bagi merebut peluang mencabar Hakim dalam perlawanan akhir, dengan McCune akhirnya berjaya melangkah ke final.

Kejayaannya itu membolehkan pemain berusia 26 tahun itu membawa pulang hadiah utama bernilai AS$20,000 (RM89,000).

Kemenangan bersejarah Hakim hadir hanya beberapa hari selepas Rafiq Ismail nyaris memenangi gelaran Jelajah PBA, apabila menduduki tempat kedua dalam Scorpion Championship sebelum tewas kepada pemain Sweden, Rasmus Edvall, dalam perlawanan akhir.

Awal tahun ini, Hakim menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan bersama Rafiq, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan yang menjuarai acara berpasukan di Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.

Malaysia mungkin bakal mempunyai seorang lagi juara Jelajah PBA, apabila Muaz meneruskan perjuangan beraksi dalam peringkat penyingkiran PBA Shark Championship, esok.