KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw wanita bersedia menyahut cabaran yang dilontarkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk menghuni kedudukan empat terbaik pada Piala Dunia di Bihar, India yang bermula esok hingga 25 Mac ini.
Ketua jurulatihnya, Rashidi Nordin berkata, pihaknya sudah melakukan persiapan terbaik termasuk menjalani latihan simulasi perlawanan ketika bulan puasa bagi memastikan sasaran itu tercapai.
“Piala Dunia di Bihar adalah penanda aras terhadap kemampuan skuad wanita di mana kita perlu menjadi empat pasukan terbaik di kejohanan itu,” kata Rashidi.
“Kita perlu mendapatkan kedudukan itu bagi memastikan kita dapat melayakkan diri ke Sukan SEA Thailand pada hujung tahun ini dalam kategori A. Jadi ia tanggungjawab yang besar.
“Sebagai persiapan, kami mengadakan latihan berat pada sebelah malam tetapi turut menjalankan latihan di sebelah pagi terutama membabitkan simulasi perlawanan kerana kejohanan di sana berlangsung pada siang hari.
“Kita tidak pernah menghadapi kejohanan ketika bulan puasa jadi ini adalah cabaran tetapi kita sudah bersedia. Pasukan sudah pun membuat ‘kerja rumah’ dan saya lihat semangat juang dan kualiti permainan memang menunjukkan peningkatan.”
Rashidi berkata, skuad negara yang akan beraksi dalam acara regu dan kuadran menyenaraikan rata-rata pemain senior.
“Kita sebenarnya meletakkan fokus dalam acara kuadran dengan mencuba kombinasi regu yang kita ada. Sekalipun kita menyenaraikan ramai pemain senior, kita turut membariskan beberapa pemain junior,” kata Rashidi.