Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
MTBC kagum semangat pemain boling negara

Kuala Lumpur: Semangat dipamerkan barisan pemain boling negara yang beraksi di Jelajah Persatuan Pemain Boling Profesional (PBA) sangat luar biasa biarpun empat pemain negara yang beraksi di Amerika Syarikat itu menggunakan perbelanjaan sendiri.

Pada kejohanan itu Malaysia diwakili oleh Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang melakar sejarah mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran PBA selain turut disertai juara Asia, Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, dan Timmy Tan.

Ia bukan satu jumlah sedikit apabila setiap daripada mereka yang beraksi di PBA itu mengeluarkan perbelanjaan sekitar RM30,000 seorang.

Justeru Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata, MTBC selepas ini akan mengkaji semula mekanisma yang boleh digunakan untuk membantu pemain boling negara.

“Oleh kerana ia kejohanan jelajah profesional, ia tidak berada dalam perjanjian antara MSN (Majlis Sukan Negara) dan MTBC pemain yang ingin menyertainya perlu menggunakan perbelanjaan sendiri.

“Ia kerana MTBC memberi fokus kepada kejohanan Asia yang menawarkan kedudukan ranking. Begitupun MTBC memberi kebenaran untuk atlet negara beraksi di peringkat antarabangsa khususnya di AS dengan syarat menggunakan duit sendiri dan itu yang berlaku sejak dua tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, beliau yang ditemui pada sidang media Kejohanan Boling Terbuka Malaysia di sini hari ini meluahkan rasa kagum dengan semangat ditunjukkan pemain negara yang teruja untuk mengharumkan nama Malaysia.

Biarpun berdepan cabaran kewangan, MTBC mengakui kejohanan PBA dan Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) adalah platform sangat baik untuk pemain yang sudah berada di tahap tinggi kerana ia menyediakan peluang untuk bersaing dengan pemain terbaik dunia.

Justeru Najib berkata, MTBC selepas ini akan berusaha mencari dana bagi membantu pemain negara terus berkembang di masa depan terutama mengukir nama di pentas antarabangsa.

Awal tahun ini, Hakim menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan bersama Rafiq, Muaz dan Timmy muncul juara acara berpasukan di Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong.

Malaysia mungkin bakal mempunyai seorang lagi juara Jelajah PBA, apabila Muaz meneruskan perjuangan beraksi dalam peringkat penyingkiran PBA Shark Championship, esok.