Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu memberikan insentif RM1.082 juta kepada atlet negeri itu ekoran kejayaan dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Edisi Ke-21 di Sarawak, tahun lalu.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, RM927,000 adalah insentif untuk kontinjen Sukma manakala RM155,000 untuk kontinjen Para Sukma.
Beliau berkata, pemberian insentif itu membabitkan 414 atlet Sukma dan 57 atlet Para Sukma yang berusaha keras membanggakan nama negeri.
Katanya, kontinjen Sukma mendapat 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa manakala atlet Para Sukma pula memperoleh 10 emas, 19 perak dan 15 gangsa.”Bagi pemenang pingat emas, atlet akan menerima sebanyak RM3,000, pingat perak (RM2,000) dan gangsa (RM1,000) dengan pemberian insentif terbesar membabitkan atlet sukan berbasikal Sukma yang menyumbang lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa iaitu sebanyak RM112,000.
“Ini juga kali pertama kita menyalurkan nilai insentif kemenangan yang sama untuk pingat emas, perak dan gangsa kepada atlet Sukma dan Para Sukma selepas melihat semangat yang sangat tinggi selain berkorban masa dan tenaga dengan fizikal mereka yang sedemikian. Jadi tentunya kerajaan negeri memikirkan untuk memberi insentif sebagai menghargai dan motivasi kepada yang lain supaya terus berusaha untuk mencapai yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Kontinjen Negeri Terengganu Sukma dan Para Sukma Edisi Ke-21 Sarawak 2024 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Shahrizal Yahaya.Terengganu menduduki tempat kelima di belakang Sarawak, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang manakala atlet Para Sukma Terengganu berada di tempat kesembilan.
Ahmad Samsuri turut menyeru atlet supaya dapat meningkatkan prestasi bagi memperbaiki kedudukan negeri pada Sukma akan datang di Selangor.
“Kita tidak pernah tercicir daripada tempat ketiga terbaik keseluruhan dan pencapaian keseluruhan kali ini adala pencapaian terendah sejak SUKMA 2008 diadakan.
“Insya-Allah, kita perlu sama-sama mengembalikan kerancakan penguasaan sebagai jaguhan sukan negara dalam Sukma dan para Sukma 2026 nanti,” katanya.