Kuala Lumpur: Selepas puas mencipta kejayaan dan mencapai sasaran ditetapkan tahun lalu, pelari pecut wanita negara, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal tidak sabar untuk mengorak langkah lebih jauh terutama di peringkat antarabangsa.
Menurut atlet kelahiran Selangor itu, dia sendiri bangga dengan pencapaian diraih tahun lalu dan tidak ada yang gagal menepati sasaran ditetapkan.
“Sasaran saya pada 2024 adalah untuk memenangi emas di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dan memecahkan rekod temasya, jadi tidak ada perkara yang tak dicapai, semuanya berjaya,” katanya dalam laman sosial, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Ujar atlet berusia 21 tahun itu, tahun ini dia mahu meraih kejayaan yang lebih baik berbanding 2024 terutama di Sukan Sea Thailand.
“Saya mahu memperbaiki catatan peribadi terbaik dalam kedua-dua acara (100 dan 200 meter) dan mahu memenangi pingat di temasya berkenaan tak kisah secara individu mahu pun berpasukan,” katanya.
Tahun lalu di Sarawak Afrina Batrisyia bukan sahaja memenangi acara 100 meter wanita akhir dengan catatan 11.64 saat tetapi turut berjaya memecah rekod temasya.
Dia memadamkan rekod Sukma 11.81s milik Azrenn Nabila Alias yang dirakam pada edisi 2018 di Perak enam tahun lalu.
Buat masa sekarang atlet yang menyambung pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu giat menjalani latihan walaupun di bulan Ramadan.
“Untuk sepanjang Ramadan ini memang penat, kami sebagai atlet perlu menjalani latihan seperti biasa di venue masing-masing. Selain itu agak sukar juga buat saya kerana perlu membahagikan antara belajar dan berlatih.
“Jadual di universiti tidak sama ketika Pra Universiti (Pra U) sebelum ini. Ketika Pra U jadual sudah tersusun, kelas hanya sampai Zohor selepas itu berlatih, namun ia berbeza ketika di UPM,” katanya.